Colombia iktiraf Palestin negara berdaulat


Presiden baharu Colombia Ivan Duque dikatakan membuat keputusan untuk mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat, beberapa hari sebelum beliau mula bertugas. – Gambar EPA, 9 Ogos, 2018.

COLOMBIA mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat, beberapa hari sebelum Presiden baharu Ivan Duque memulakan tugas, menurut satu surat daripada Kementerian Luar yang diumumkan semalam.

“Saya ingin memaklumkan, atas nama kerajaan Colombia, Presiden Juan Manuel Santos membuat keputusan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas, merdeka dan berdaulat,” katanya dalam surat bertarikh 3 Ogos lalu.

Surat itu ditandatangani oleh Menteri Luar Maria Angela Holguin.

Menteri Luar baharu Carlos Holmes bagaimanapun berkata beliau akan menyemak semula kesan keputusan kerajaan terdahulu, mengikut undang-undang antarabangsa dan amalan baik diplomatik.

“Keutamaan kerajaan ialah untuk mengekalkan hubungan kerja sama dengan sekutu dan rakan serta menyumbang kepada perdamaian dan keselamatan di peringkat antarabangsa,” kata Holmes.

Sebelum pengumuman itu, Colombia adalah satu daripada dua negara di rantau berkenaan bersama Panama yang enggan mengiktiraf status Palestin.

Bogota, sekutu Amerika Syarikat (AS) daripada segi sejarah, mengekalkan hubungan rapat dengan Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadualkan tiba di Colombia Isnin lalu namun membatalkan kunjungan saat akhir, mengatakan beliau perlu menumpukan perkembangan di sepanjang sempadan negara itu dengan Semenanjung Gaza. – AFP, 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen