ISTERI Presiden Syria Bashar al-Assad memulakan rawatan untuk kanser payudara tahap awal, kata pejabat presiden, semalam.
“Asma al-Assad sudah memulakan peringkat pertama rawatan untuk ketumbuhan di payudara yang ditemui pada peringkat awal,” kata pejabat presiden menerusi akaun media sosialnya.
Pengumuman itu turut memaparkan gambar Asma berpakaian santai dan berkasut sedang duduk di atas kerusi di sebuah bilik hospital dengan cecair dimasukkan ke tangan kirinya.
Beliau kelihatan tersenyum ke arah suaminya yang duduk di sebelah kanannya.
Bagaimanapun, pejabat Presiden tidak menyatakan di mana wanita pertama itu dirawat, namun perkataan “tentera” tertera pada selimut dalam gambar di mana mungkin ia menunjukkan beliau berada di hospital tentera kerajaan.
Asma, 43, bekas ahli perbankan pelaburan yang menampilkan diri sebagai aktivis hak asasi progresif dan dilihat sebagai sisi moden dinasti Assad. – AFP, 9 Ogos, 2018.
Komen