Dewan Rakyat lulus RUU mansuh GST


Melati A. Jalil

Akhirnya, GST sudah mati, kata kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membacakan RUU Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

Akhirnya, GST sudah mati, kata kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membacakan RUU Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

RANG Undang-undang (RUU) bagi pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, menandakan satu lagi langkah untuk menghapuskan sistem cukai yang diperkenalkan tiga tahun lepas.

Ia diluluskan melalui undian lisan.

GST yang diperkenalkan pada April 2015 oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu akan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Akhirnya, GST sudah mati” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membacakan RUU Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 untuk bacaan kali ketiga.

RUU Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 masing-masing telahpun diluluskan di Dewan Rakyat semalam dan hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua RUU berkenaan masih perlu diluluskan di Dewan Negara yang dikuasai BN di mana parti itu mempunyai 29 senator. Pakatan Harapan (PH) mempunyai enam senator manakala 16 daripada parti politik lain. Baki 19 lagi masih kosong.

Cukai SST yang bakal dikuatkuasakan pada 1 September ini, akan mengenakan cukai sebanyak 10% terhadap mana-mana barangan yang boleh dikenakan cukai dan 6% bagi sebarang perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai. Had ambang SST adalah RM500,000 setahun bagi semua perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai.

Terdahulu hari ini, Lim berkata beliau tidak boleh menjamin harga barangan tidak akan naik sebaik sahaja cukai baharu itu dikuatkuasakan, namun percaya kesan SST hanya separuh daripada GST.

Beliau juga berkata hanya 43.5% perkhidmatan yang tertakluk kepada SST, berbanding 64.8% perkhidmatan yang tertakluk kepada cukai GST.

Tambah Lim, jumlah barangan dan perkhidmatan yang tidak tertakluk kepada SST sepuluh kali ganda lebih, dan RM17 bilion yang dijangka dikutip akan dikembalikan semula kerajaan Persekutuan kepada rakyat tahun ini.

Sebanyak 5,443 barangan dikecualikan daripada SST, berbanding 540 barangan dikecualikan GST.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen