Arab Saudi hentikan rawatan perubatan rakyatnya di Kanada


Langkah itu diambil susulan pertikaian sengit berkaitan hak asasi manusia antara Arab Saudi dan Kanada. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2018.

ARAB Saudi telah menghentikan semua program rawatan perubatan untuk rakyatnya di Kanada dan kini menyelaras pemindahan pesakit terbabit ke fasiliti perubatan di tempat lain, lapor agensi berita China Xinhua pada Rabu.

Dr Fahd bin Ibrahim Al Tamimi, Atase Kesihatan Arab Saudi di Kanada dan Amerika Syarikat dipetik sebagai berkata demikian oleh Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA).

Langkah itu diambil susulan pertikaian sengit berkaitan hak asasi manusia antara Arab Saudi dan Kanada.

Pada Isnin, Arab Saudi mengusir duta Kanada di Riyadh dan memanggil pulang dutanya dari Ottawa serta membekukan “semua perniagaan baharu” dengan Kanada.

Arab Saudi turut menggantung semua program latihan dan biasiswa di Kanada mulai September, kata Biro Kebudayaan Kementerian Pendidikan pada Isnin.

Pertikaian diplomatik itu berlaku selepas Ottawa menggesa Riyadh membebaskan aktivis masyarakat sivil dan hak asasi wanita yang ditahan di Arab Saudi, menurut kenyataan Pejabat Kementerian Luar Kanada. – Bernama, 8 Ogos, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen