SEORANG banduan dilaporkan maut setiap dua hari dalam tempoh Januari hingga April, 2018 di penjara Rio de Janeiro, antaranya disebabkan penyakit berjangkit, tahap kebersihan yang rendah serta kekurangan petugas perubatan.
Sejak Februari, operasi penjara serta kawalan keselamatan negeri, dikendalikan pihak tentera diketuai Jeneral Walter Braga Netto, susulan arahan Presiden Michel Temer.
Jumlah kematian itu didedahkan sebagai bukti mengapa tuntutan sivil dibuat oleh pihak pembelaan ke atas negara dan pihak perbandaran Rio de Janeiro.
Sebanyak 31 daripada 55 buah penjara terletak di Rio de Janeiro dan bandaraya itu tidak melaksanakan sistem penyediaan kesihatan untuk banduan sebagaimana termaktub dalam dasar negara.
Dihasilkan pada tahun 2014 oleh Kementerian Kesihatan, sistem itu menetapkan dana perlu diperuntukkan untuk pegawai agensi perubatan perbandaran melawat dan menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap banduan.
Banduan di penjara Rio de Janeiro sering dijangkiti wabak tuberkulosis, sifilis, kusta dan kudis selain diabetis serta hipertensi. – Bernama, 8 Ogos, 2018.
Komen