Foto gadis Britain peluk teman lelaki sedang nazak tular


Stephanie Ray, berusia 15 tahun dari pekan Dudley di England, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada teman lelakinya, Blake Ward, 16, yang sebelum ini telah dihanyutkan ke laut minggu lepas. Blake terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat selepas diselamatkan. – Gambar Facebook, 8 Ogos, 2018.

FOTO seorang gadis belasan tahun warga Britain yang memeluk teman lelakinya ketika mengucapkan selamat tinggal sebelum mesin sokongan hayat remaja lelaki itu dipadam telah menjadi tular di Internet baru-baru ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Stephanie Ray, berusia 15 tahun dari pekan Dudley di England, terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada teman lelakinya, Blake Ward, 16, yang sebelum ini telah dihanyutkan ke laut minggu lepas.

Blake adalah antara tiga remaja yang diselamatkan pada Selasa lepas di perairan Tywyn, Gwynedd di barat laut Wales selepas dihanyutkan oleh arus ketika percutian keluarga.

Dia kemudian diterbangkan ke sebuah hospital di Liverpool dan terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat. 

Blake meninggal dunia lima hari kemudian.

Stephanie berada di sisi Blake sejak dia diselamatkan hinggalah ke saat-saat terakhirnya ketika doktor memadamkan mesin sokongan hayat.

Sebagai ucapan selamat tinggal, gadis itu telah naik ke katil Blake dan berbaring di sebelahnya ketika remaja lelaki tersebut menghembuskan nafas terakhir. 

Stephanie membuat hantaran di Facebook baru-baru ini untuk berkongsi foto yang menyayat hati itu.

“Hari ini adalah hari yang paling sukar bagi saya dan akan menjadi hari yang tidak akan saya lupakan,” luah Stephanie di Facebook bersama foto itu.

“Blake adalah seorang yang istimewa bagi saya dan kami memiliki sesuatu yang istimewa, dan itu akan sentiasa menjadi milik kami,” katanya.

“Saya tidak akan melupakan awak Blake. Pergilah dengan tenang wahai lelaki kesayanganku dan saya akan berusaha membuatkan awak bangga. Saya sayangkan awak dan akan sentiasa menyayangi awak,” luahnya lagi. – Bernama, 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen