INDIA mengarahkan pemeriksaan ke atas sekurang-kurangnya 9,000 rumah perlindungan untuk kanak-kanak yatim piatu dan terbabai selepas siri serangan seksual di tempat itu menggemparkan negara, kata menterinya.
Maneka Gandhi, menteri pembangunan wanita dan kanak-kanak India memberitahu akhbar Indian Express dalam wawancara disiarkan pada Rabu yang siasatan itu termasuklah pemeriksaan latar belakang pemilik dan pengurus rumah perlindungan itu.
Pihak berkuasa mula bertindak selepas skandal serangan seksual melibatkan lebih 30 gadis sunti di sebuah rumah perlindungan kerajaan di Bihar terbongkar.
Polis minggu ini menahan lima orang atas dakwaan penderaan di rumah perlindungan di negeri Uttar Pradesh dan menyelamatkan 24 gadis selepas seorang daripada mereka berjaya melepaskan diri dan membuat laporan polis.
Pemeriksaan itu akan melibatkan kemudahan asas dan persekitaran rumah perlindungan, kata menteri.
Pada 2017, kajian kerajaan mendedahkan hampir 9,000 rumah perlindungan kanak-kanak di India tidak berdaftar.
Menteri mengakui yang kemungkinan banyak lagi rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdaftar.
Kementerian masih tidak membalas pertanyaan AFP untuk maklum balas kes serangan seksual itu. – AFP, 8 Ogos, 2018.
Komen