UPACARA menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-51 penubuhan Asean berlangsung di Hanoi pada Rabu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Bercakap pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pham Binh Minh berkata, 51 tahun lalu, pada 8 Ogos 1967, pemimpin Asean telah meletakkan asas bagi penubuhan sebuah komuniti yang damai dan makmur bagi negara-negara Asia Tenggara.
“Ia adalah Komuniti Asean yang bersatu padu, berdikari, saling membantu dan perkongsian antara rakyat dengan rakyat,” katanya.
Setiap anggota Komuniti Asean, yang ditubuhkan tiga tahun lalu, berusaha merealisasikan visi 2025, untuk keamanan dan berdikari dengan ekonomi yang dinamik, berdaya saing, bersepadu dan membina masyarakat berdasarkan kekukuhan perpaduan di samping identiti bersama.
Negara Asean boleh berbangga dengan hasil awal yang positif, iaitu penubuhan komuniti, ekonomi dinamik yang stabil dan kepesatan penduduk lebih dari 630 juta orang, bersandarkan kepada tanggungjawab sosial dan manfaat rakyat.
Minh berkata Vietnam meletakkan Asean sebagai keutamaan dalam dasar luar negaranya dan sejak menganggotainya 23 tahun lalu, blok itu berkait rapat dalam proses integrasi serantau dan antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya Vietnam akan terus bekerjasama dengan negara anggota yang lain untuk melaksanakan Wawasan Komuniti Asean 2025.
Asean terdiri 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 8 Ogos, 2018.
Komen