SEKURANG-KURANGNYA 10 maut manakala berpuluh-puluh lagi jatuh sakit selepas makan makanan tercemar dalam satu majlis pengebumian di Andes, Peru, kata pihak berkuasa pada Selasa.
Makanan itu disyaki mengandungi organofosfat, sejenis bahan kimia yang digunakan dalam racun perosak, kata Menteri Kesihatan Silvia Pessah kepada stesen penyiar tempatan RPP.
Daripada sejumlah 50 orang yang jatuh sakit selepas majlis pengebumian di Perkampungan San Jose de Ushua pada Isnin, 10 meninggal dunia manakala lapan lagi berada dalam keadaan kritikal, menurut agensi pertahanan awam Peru, Indeci, di laman Twitter.
Pihak berkuasa memindahkan pesakit dari sebuah hospital di kawasan luar bandar di Ayacucho.
Bedah siasat akan menentukan punca kematian, kata ketua Indeci, Jorge Chavez, kepada RPP.
Pessah berkata terdapat dua insiden keracunan organofosfat di wilayah yang sama sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada 2013, sejumlah 23 pelajar berketurunan India maut selepas makan makanan yang dicemari oleh racun perosak monokrotofos, sejenis bahan yang tergolong dalam keluarga organofosfat.
Abel Salinas, bekas menteri kesihatan, memaklumkan RPP tragedi itu merupakan satu peringatan bahawa bekas racun perosak tidak boleh digunakan semula ketika menyediakan makanan. – Bernama, 8 Ogos, 2018.
Komen