Pendakwaan suka buat kerja saat akhir, kata peguam Najib


SM Amin

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak berkata pendakwa raya baru saja serahkan dokumen pertuduhan 4 Julai, sedangkan permohonan sudah lama dibuat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Ogos, 2018.

PASUKAN peguam Najib Razak kesal kerana baru diberikan dokumen untuk pertuduhan 4 Julai sedangkan anak guamnya dituduh di mahkamah lebih sebulan lalu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukan pembelaan memohon agar pendakwaan memberikan dokumen berkaitan tetapi tidak berjaya mendapatkan dokumen terbabit.

“Kita sudah minta, dua kali kita tulis surat termasuk dalam mahkamah terbuka, tiga kali kita minta, baru hari ini mereka bagi dokumen yang kita minta berminggu-minggu.

“Dokumen baru bagi hari ini, itu pun dalam CD-ROM (cakera padat). (Pendakwa raya) tidak cetak, dia kata semuanya dalam ini. Dia tidak bersedia langsung, dia tidak bagi dokumen yang fizikal,” katanya.

Bercakap kepada pemberita, beliau menjelaskan permohonan dibuat agar dokumen itu diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum pengurusan kes hari ini.

Peguam Negara Tommy Thomas bagaimanapun menolak permintaan Shafee untuk dibekalkan dengan dokumen kes sebelum tarikh perbicaraan kerana menyifatkan permohonan itu tidak munasabah.

Mengulas lanjut perkara itu, Shafee berkata tertuduh perlu dibekalkan dengan dokumen bagi membolehkan pihak yang dituduh menyediakan pembelaan.

“Pernyataan bertulis Najib juga baru hari ini dia bagi. Sepatutnya hari pertuduhan dia dah bagi semua. Nampak sangat pendakwaan tidak bersedia dan tidak berlaku adil setakat ini,” katanya.

Beliau berkata pembelaan perlu mengkaji dokumen tersebut terlebih dulu untuk meneliti jumlah hari yang diperlukan untuk perbicaraan.

“Orang yang kena tuduh, ada hak dia untuk melihat apa dia bukti-bukti yang kamu katakan dia salah. Baru dia boleh buat pembelaan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menjangka Najib akan dikenakan pertuduhan baharu, Shafee berkata: “Saya tidak tahu sebab pendakwa suka buat kerja pada saat akhir.”

Najib hari ini mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan mengubah wang secara haram melibatkan dana berjumlah RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Ketiga-tiga pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah mengikut Kanun Keseksaan dan satu tuduhan salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen