Najib boleh dipenjara 125 tahun jika sabit semua kesalahan


Najib Razak melangkah keluar dari Mahkamah Tingi Kuala Lumpur selepas mendengar tiga pertuduhan terhadapnya hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2018.

NAJIB Razak berdepan hukuman penjara 125 tahun dan denda RM210 juta, jika sabit kesalahan ke atas semua tujuh tuduhan dihadapinya setakat ini.

Itu merupakan jumlah hukuman yang perlu dijalaninya jika mahgkamah tidak mengarahkannya dijalani serentak

Bekas perdana menteri dan menteri kewangan hari ini menghadapi tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram di samping empat tuduhan pecah amanah jenayah dan salah satu penyalahgunaan kuasa pada 4 Julai.

Beliau memohon dibicarakan selepas tiga tuduhan pengubahan wang haram dibacakan ke atasnya hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sekiranya didapati bersalah, Najib berdepan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda sehingga maksimum RM5 juta, bagi setiap pertuduhan.

Jika didapati bersalah atas semua tuduhan, bekas presiden Umno itu boleh dipenjarakan sehingga 125 tahun.

Beliau dituduh menerima RM42 juta daripada SRC International Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

1MDB adalah gagasan Najib dan beliau berkhidmat sebagai pengerusi lembaga penasihatnya.

SRC International ditubuhkan untuk menyediakan pelaburan dalam bidang berkepentingan strategik, seperti arang batu dan gas asli. Ia menerima pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan yang Diperbadankan (KWAP) untuk pelaburan antara 2011 dan 2012.

Tuduhan pengubahan wang haram hari ini berkaitan dengan tiga bayaran - RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta - yang masuk ke akaun AmBank Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015. 

Empat pertuduhan pada Julai termasuk tiga berhubung pecah amanah jenayah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Setiap tuduhan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun jika bersalah.

Tuduhan keempat adalah kerana penyalahgunaan jawatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia juga membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, serta denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan yang diterima dengan menyalahgunakan jawatan awam.

Najib dituduh memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion daripada KWAP sebagai balasan RM42 juta yang diterima.

Penjara 125 tahun

Sekiranya didapati bersalah atas semua tuduhan, Najib boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 125 tahun.

Empat tuduhan pada Julai membawa hukuman penjaran maksimum selama 20 tahun, berjumlah 80 tahun, manakala tiga pertuduhan baru hari ini membawa hukuman maksimum 15 tahun, yang bermakna tambahan sebanyak 45 tahun lagi.

Perbicaraan yang sedang dijalankan tidak dimempunyai kaitan dengan siasatan terhadap 1MDB oleh pasukan petugas khas yang diketuai oleh bekas peguam negara Abdul Gani Patail.

Pada 27 Julai 2016, SPRM menyediakan kertas dakwaan berkaitan SRC International dan menyerahkannya kepada peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali.

Apandi menolak cadangan mendakwa dan membebaskan Najib daripada sebarang kesalahan.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan dan perbicaraan dijangka dijalankan tahun depan. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen