Setiausaha pertahanan British sokong perjanjian nuklear Iran


Setiausaha Pertahanan British Gavin Williamson berkata pelan tindakan nuklear Iran disifatkan sebagai perjanjian yang terbaik. – Gambar EPA, 8 Ogos, 2018.

PERJANJIAN nuklear Iran atau Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) disifatkan sebagai perjanjian yang “terbaik” dan “boleh dicapai” bagi menangani kebimbangan barat, kata Setiausaha Pertahanan British, Gavin Williamson.

“Tiada sesiapa pun berpura-pura yang JCPOA itu perjanjian sempurna, ia menyediakan beberapa langkah penting yang saya fikir semua orang boleh peroleh manfaatnya.

“Kami galak Amerika Syarikat (AS) berbincang dengan rakan-rakannya serta Iran untuk mencari penyelesaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Atlantik, di Washington semalam, lapor agensi berita Xinhua.

Pandangan Williamson ternyata berbeza dengan Presiden Donald Trump, yang pada Isnin menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan semula sekatan ke atas Iran.

Pada 2015, Iran dan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – Britain, China, Perancis, Rusia dan AS termasuk Jerman, memeterai perjanjian nuklear di Vienna.

Di bawah perjanjian itu, Iran bersetuju untuk mengehadkan aktiviti nuklearnya dan membenarkan pemeriksa antarabangsa dijalankan, sebagai balasan menarik balik sekatan yang melumpuhkan ekonomi Iran.

Trump turut mengancam mengenakan sekatan sekunder ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Iran, kebanyakannya dari Eropah.

Beberapa jam sebelum sekatan dikuatkuasakan, Kesatuan Eropah (EU), Britain, Perancis dan Jerman dalam satu kenyataan menyatakan mereka akan mengekalkan hubungan ekonomi dengan Iran, dan “bertekad melindungi ahli perniagaan Eropah yang mempunyai urusan perniagaan secara sah dengan Iran.”

Mereka berkata berdasarkan “pindaan Peraturan Halangan Statut EU yang mula berkuat kuasa pada 7 Ogos, ia melindungi syarikat-syarikat yang berurus niaga dengan Iran daripada menerima kesan akibat sekatan tambahan oleh AS.” – Bernama, 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen