PERDANA Menteri Britain, Theresa May pada Selasa menyokong gesaan agar bekas menteri luar Boris Johnson meminta maaf kerana komen menghina wanita Islam memakai burqa, yang mengatakan pengkritiknya “tidak masuk akal”.
May berkata kenyataan Johnson “jelas menyinggung” dan bersetuju dengan pengerusi parti Konservatifnya, Brandon Lewis, yang turut menggesa Johnson meminta maaf.
“Saya fikir kita semua perlu berhati-hati dengan bahasa dan istilah yang kita gunakan. Dan beberapa istilah digunakan Boris menggambarkan penampilan orang jelas menyinggung,” kata perdana menteri itu.
“Apa yang penting ialah kita percaya orang harus mempunyai hak mengamalkan agama mereka dan, dalam hal wanita dan burqa dan niqab, memilih cara mereka berpakaian.”
Dalam satu kolum akhbar Daily Telegraph pada Isnin, Johnson berkata wanita yang memakai tudung hingga menutupi wajah kelihatan seperti “perompak bank” atau “peti surat”, menyebabkan tuduhan Islamofobia.
Tetapi bekas diplomat atasan itu, yang mempunyai reputasi kerana menimbulkan kontroversi dan keluar daripada Kabinet May pada bulan lalu sebagai protes berhubung rancangan Brexit, enggan mengalah.
“Adalah tidak masuk akal pandangan ini diserang - kita tidak boleh masuk ke dalam perangkap menutup perdebatan mengenai isu-isu yang sukar,” kata seorang sumber rapat kepada Johnson kepada pemberita.
“Kita perlu menyatakanya. Jika kita gagal bercakap untuk nilai-nilai liberal maka kita akan menjadi benteng bagi reaksionis dan pelampau.”
Kenyataannya turut menerima kutukan daripada bekas rakan sekerja.
Menteri Luar Junior Alistair Burt memberitahu BBC: “Saya tidak akan pernah membuat komen sedemikian, saya fikir ada pelanggaran di situ.” – AFP, 8 Ogos, 2018.
Komen