9 disahkan maut akibat wabak Ebola di Congo


Hampir 1,000 orang yang mempunyai 'hubungan' dengan virus Ebola di Republik Demokratik Congo didaftarkan untuk pengawasan. – Gambar AFP, 7 Ogos, 2018.

SERAMAI sembilan orang disahkan maut akibat Ebola sejak virus itu muncul semula di Republik Demokratik Congo bulan ini, kata kementerian kesihatan negara itu pada Selasa.

Jumlah korban sebelum ini seramai tujuh orang, dengan dua mangsa terbaharu - seperti semua mangsa lain - didaftarkan di wilayah Beni di wilayah utara Kivu, sebuah wilayah timur yang mempunyai masalah keselamatan yang bersempadan dengan Uganda dan Rwanda.

Kementerian Kesihatan pada 1 Ogos mengumumkan negara itu menghadapi wabak Ebola ke-10 sejak 1976.

Seramai 33 meninggal dunia akibat wabak di barat laut yang hanya diisytiharkan tamat pada akhir Julai.

“Secara keseluruhannya, 43 kes demam berdarah dilaporkan di wilayah (Beni), termasuk 16  disahkan dan 27 belum dipastikan, dan 46 kes disyaki sedang disiasat,” kata kementerian tersebut.

Hampir 1,000 orang yang mempunyai “hubungan” dengan virus itu didaftarkan dalam zon kesihatan untuk pengawasan, katanya.

Ebola menyebabkan penyakit serius termasuk muntah, cirit-birit dan dalam sesetengah kes pendarahan dalaman dan luaran. Ia sering membawa maut jika tidak dirawat.

Pemberian vaksin bagi virus itu dijangka bermula pada Rabu.

“Dua belas pasukan pemvaksin akan ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas,” kata kementerian itu sambil menambah pasukan telah tiba di Beni.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata “kemerosotan situasi keselamatan” di kawasan terjejas dijangka menghalang tindak balas terhadap wabak itu.

Palang Merah mengumumkan ia menggerakan sebuah pasukan “pelbagai bidang” terdiri daripada 19 anggota ke Beni. – AFP, 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen