Polis Seoul siasat dakwaan 200 tan emas ditemui dalam bangkai kapal selam Rusia


khabar angin tersebar menyatakan kapal tersebut tenggelam bersama dengan muatan 200 tan emas, bernilai 130 trilion won (US$116 bilion), sekaligus menyebabkan pasaran saham tempatan berubah-ubah.– Gambar AFP, 7 Ogos, 2018.

POLIS Metropolitan Seoul menyerbu pejabat sebuah syarikat tempatan susulan penemuan bangkai kapal perang Rusia yang tenggelam pada awal abad ke-20, lapor agensi berita Yonhap pada Selasa.

Serbuan dijalankan oleh 27 anggota Unit Jenayah Kolar Putih di pejabat Shinil Group di Yeouido, dan di tujuh lokasi berbeza. 

Shinil Group pada 15 Julai lalu mengumumkan menemui bangkai kapal Dmitrii Donskoi, sebuah kapal perang Rusia yang tenggelam pada 1905 semasa Perang Rusia-Jepun.

Turut disiarkan rakaman mengenai penemuan kapal itu di semanjung timur perairan Pulau Ulleung. 

Berikutan itu, khabar angin tersebar menyatakan kapal tersebut tenggelam bersama dengan muatan 200 tan emas, bernilai 130 trilion won (US$116 bilion), sekaligus menyebabkan pasaran saham tempatan berubah-ubah.

Firma gabungannya yang berpangkalan di Singapura turut didakwa cuba menjual kepada para pelabur mata wang kripto berdasarkan potensi nilai kapal karam itu.

Ia menarik pelabur dengan menyatakan nilai duit syiling itu akan naik sehingga 10,000 won menjelang akhir September tahun ini, berbanding nilai sekarang sebanyak 200 won, menyebabkan spekulasi bahawa Shinil menjalankan penipuan tersebar meluas.

Dalam satu lagi sidang akhbar, Shinil mengubah nilai anggaran harta itu kepada 10 trilion won berbanding 1.2 bilion won dalam dokumen yang dikemukakan kepada Kementerian Maritim.

Ekoran itu, Ketua Shinil, Choi Yong-seok dilarang meninggalkan negara itu dan permohonan pihak berkuasa Korea Selatan untuk Choi dan seorang lagi suspek dikenali Rhu dimasukkan dalam Notis Merah diluluskan Interpol pada Isnin.– Bernama, 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen