Penderaan seksual kanak-kanak, pasangan dihukum penjara di Jerman


Mahkamah Serantau Lebih Tinggi Freiburg di Jerman pada Selasa telah menjatuhi hukuman penjara ke atas seorang lelaki berusia 39 tahun dan pasangannya, seorang wanita berusia 48 tahun yang juga ibu mangsa dalam skandal penderaan seksual kanak-kanak berprofil tinggi di negara itu.– Gambar AFP, 7 Ogos, 2018.

MAHKAMAH Serantau Lebih Tinggi Freiburg di Jerman pada Selasa telah menjatuhi hukuman penjara ke atas seorang lelaki berusia 39 tahun dan pasangannya, seorang wanita berusia 48 tahun yang juga ibu mangsa dalam skandal penderaan seksual kanak-kanak berprofil tinggi di negara itu.

Pasangan itu, yang berasal dari pekan Staufen di Baden-Wuerttemberg, didapati bersalah merogol, melakukan penderaan seksual dan melacurkan anak lelaki wanita tersebut dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun, lapor agensi berita China Xinhua.

Ibu mangsa dijatuhi hukuman penjara 12 tahun setengah manakala pasangannya terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 tahun dengan tempoh tahanan tambahan yang belum diputuskan bagi melindungi orang ramai.

Mangsa, yang kini berusia 10 tahun, telah dirogol berulang kali dan dijual kepada orang yang tidak dikenali di Jerman dan negara lain kira-kira 60 kali sebagai pelacur melalui portal tanpa nama “Darknet” di Internet.

Pasangan itu juga didapati bersalah mendera seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun. 

Hampir kesemua jenayah yang dilakukan oleh pasangan itu telah difilemkan dan disiarkan secara online.

Kes itu dianggap sebagai antara skandal penderaan kanak-kanak yang paling teruk dalam sejarah Jerman. 

Pihak pendakwaan juga menyatakan bahawa adalah sesuatu yang amat ganjil dan luar biasa bagi seorang ibu berusaha menutup perbuatan mendera mangsa malah secara aktif mengambil bahagian dalam aksi merogol anaknya sendiri.

Semasa perbicaraan kes itu, kedua-dua suspek mengaku bersalah. 

Kes itu turut mengundang kritikan keras terhadap pihak berkuasa Jerman yang didakwa mampu mengeluarkan mangsa dari rumahnya lebih awal.

Selain hakikat bahawa pasangan ibu mangsa sebelum ini memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penderaan kanak-kanak, satu perbicaraan awal di sebuah mahkamah keluarga hanya bergantung kepada kenyataan wanita itu berbanding menyoal siasat sendiri kanak-kanak lelaki tersebut.

Tujuh lagi defendan telah dibicarakan dan disabitkan kesalahan melakukan penderaan kanak-kanak dalam skandal tersebut serta dijatuhi hukuman penjara, dengan beberapa orang daripada mereka turut ditahan atas alasan keselamatan selepas itu.

Di bawah undang-undang Jerman, pesalah kes serius boleh terus ditahan selepas menjalani hukuman selagi mereka dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat secara umum.

Mangsa telah diletak di bawah penjagaan keluarga angkat.

Kedua-dua mangsa akan menerima pampasan kewangan sebanyak 42,500 euro (US$49,280) daripada pesalah untuk penderitaan peribadi mereka.– Bernama, 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen