HO Chi Minh berhasrat meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang dengan Malaysia, terutama perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Bercakap pada majlis bagi meraikan hubungan diplomatik selama 45 tahun Vietnam-Malaysia pada Selasa, Naib Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Perbandaran, Le Thanh Liem, berkata kedua-dua negara berkongsi banyak persamaan kebudayaan dan rakyat telah mula bertukar-tukar pandangan serta belajar dari satu sama lain sejak dahulu lagi.
Hubungan itu terus diperkukuh menerusi penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 30 Mac 1973 dan kemudian hubungan itu dibawa ke peringkat perkongsian strategik pada 2015, kata Liem.
Berbekalkan sejumlah 562 projek bernilai lebih US$12 bilion di Vietnam, Malaysia ketika ini menduduki tangga ketujuh dalam kalangan negara dan wilayah yang melabur secara langsung di Vietnam.
Perdagangan dua hala mencecah US$6.67 bilion pada separuh pertama 2018, meningkat sebanyak 19.2 peratus tahun ke tahun, dan dijangka mencecah US$15 bilion menjelang 2020.
Malaysia telah melabur sejumlah US$4.6 bilion dalam hampir 250 projek di Bandaraya Ho Chi Minh, menduduki tempat ketiga dalam kalangan 98 pelabur asing di Bandaraya Ho Chi Minh, katanya.
Selain perkongsian politik dan ekonomi, kolaborasi dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang keselamatan-pertahanan, kebudayaan, pendidikan dan buruh telah membuahkan hasil yang positif dan telah menyumbang kepada kerjasama menyeluruh dua hala serta keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini.
Bagi pihaknya, Konsul Jeneral Malaysia di Bandaraya Ho Chi Minh, Sofian Akmal Abd Karim, mengesahkan bahawa hubungan baik Malaysia dan Vietnam adalah hasil usaha berterusan pemimpin serta rakyat kedua-dua negara, terutama sejak penubuhan perkongsian strategik pada 2015.
Beliau berkata meskipun Bandaraya Ho Chi Minh telah menarik satu pertiga pelaburan Malaysia di Vietnam, potensi kerjasama kedua-dua pihak masih besar, terutama dalam bidang pendidikan dan pelancongan.
Justeru beliau menggesa para pemimpin Bandaraya Ho Chi Minh untuk terus menyokong aktiviti yang bertujuan mempromosi hubungan dua hala bagi membantu mempertingkat perkongsian strategik antara Malaysia dan Vietnam.– Bernama, 7 Ogos, 2018.
Komen