Kebakaran hutan di California catat sejarah malapetaka terbesar


Sehingga petang Isnin, kebakaran memusnahkan kawasan seluas 283,800 ekar (1,148 kilometer persegi) di utara California, dengan hanya 30% berjaya dikawal. – Gambar AFP, 7 Ogos, 2018.

KEBAKARAN hutan yang merebak dengan pantas di California, Amerika Syarikat, juga digelar “Mendocino Complex”, mencatat sejarah sebagai bencana terbesar di negeri itu, lapor Xinhua pada Isnin, memetik pihak berkuasa tempatan.

Sehingga petang Isnin, kebakaran memusnahkan kawasan seluas 283,800 ekar (1,148 kilometer persegi) di utara California, dengan hanya 30% berjaya dikawal.

Sebanyak 75 kediaman musnah dan mengancam lebih 11,300 bangunan lain.

“Kami memecahkan rekod yang tidak diinginkan oleh semua orang,” kata Scott McLean, timbalan ketua Jabatan Hutan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire).

“Anggota petugas bekerja sepanjang malam untuk mengawal kebakaran. Cuaca yang lebih panas, kering dan agin kencang menjadi cabaran kepada anggota bomba,” kata Cal Fire.

Lebih 3,900 anggota masih berusaha membendung kebakaran, dibantu 441 jentera bomba, 15 helikopter dan 85 jentolak. – Bernama, 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen