INDIA sedang meneliti kaedah terbaik untuk menyekat perkhidmatan Internet atas faktor keselamatan dan mahu penyedia perkhidmatan itu mengemukakan cadangan, demikian menurut laporan sebuah akhbar kewangan pada Selasa.
Melalui surat yang dihantar Jabatan Telekomunikasi kepada syarikat dan industri berkaitan, mereka diminta tampil dengan beberapa cadangan, bagaimana sekatan ke atas laman sesawang seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram boleh dilakukan.
“Cadangan itu berdasarkan keperluan Kementerian Dalam Negeri dalam konteks keselamatan negara,” kata laporan tersebut.
Langkah itu mencetuskan kebimbangan persatuan perniagaan kerana ia mungkin menggugat perkembangan industri Internet.
Dewan Perdagangan dan Industri India (Assocham) dalam satu surat yang dihantar kepada kerajaan menyatakan, cadangan itu adalah “tidak wajar dan akan merosakkan reputasi India sebagai hub inovasi teknologi.”
“Menutup akses Internet menyebabkan India menangung kos kira-kira AS$3 bilion antara 2012 dan 2017. Langkah itu juga dilihat bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk membantu mempermudahkan usaha mewujudkan India Digital yang baharu,” kata Assocham. – Bernama, 7 Ogos, 2018.
Komen