PEMBANGKANG menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa terpilih Parlimen terlebih dahulu untuk mengkaji kesan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum melaksanakannya.
Khairy Jamaluddin (BN – Rembau) berkata pelaksanaan cukai itu tidak boleh dilakukan terburu-buru kerana Pakatan Harapan (PH) berjanji agar rang undang-undang yang penting harus diteliti oleh jawatankuasa terpilih Parlimen.
Ia merupakan salah satu janji PH untuk menjalankan reformasi ke atas institusi Parlimen, kata Khairy ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018.
“Antara janji kerajaan PH untuk mereformasikan institusi parlimen adalah dengan kewujudan lebih banyak lagi jawatankuasa terpilih Parlimen, terutamanya melibatkan RUU yang penting dan signifikan seperti SST dan GST itu dibentangkan dahulu dan dibahas (dalam jawatankuasa terpilih).
“Kalau risau tiada kutipan hasil, guna GST pada kadar 3%. Hantar rang undang-undang ini kepada jawatankuasa terpilih. (PH) sudah janji, ini adalah reform demokrasi yang akan dibuat oleh kerajaan PH.
“Tubuhkan jawatankuasa terpilih Parlimen dulu. Kenapa terburu-buru?” soal bekas menteri itu lagi.
Cadangan undang-undang yang dibentangkan 31 Julai lalu mengesyorkan cukai jualan pada kadar 5% dan 10% ke atas barangan terpilih dan 6% untuk cukai perkhidmatan bagi menggantikan 6% GST mulai 1 September.
Antara barangan keperluan asas yang dicadangkan untuk dikecualikan daripada cukai SST adalah beras, ayam, daging, sayur-sayuran, ubat-ubatan, lampin bayi, makanan bayi, botol susu dan tuala wanita. – 7 Ogos, 2018.
Komen