SERAMAI 50 orang awam dan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam satu pertempuran sengit di timur wilayah Logar, Afghanistan pada malam Isnin, lapor agensi berita China Xinhua.
Pertempuran itu berlaku pada tengah malam selepas militan Taliban menyerbu ibu pejabat pentadbiran daerah Azra, lapor Pajhwak Afghan News di laman sesawangnya.
Sejumlah 35 anggota pasukan keselamatan dan orang awam maut ketika pertempuran berlaku manakala 15 anggota polis terbunuh selepas terkena ‘’tembakan dari pasukan sendiri” apabila tentera gabungan pimpinan Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara (Nato) melancarkan serangan udara ke atas sebuah pusat pemeriksaan polis.
“Militan terbabit sedang memasuki pusat pentadbiran daerah dan pertempuran bersenjata yang sengit meletus di kebanyakan tempat di Azra,” kata anggota majlis wilayah, Abdul Wali Wakeel.
Tujuh anggota militan turut terbunuh atau cedera dalam pertempuran itu.
Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, mendakwa pejuang Taliban sedang mara ke pusat pentadbiran daerah Azra pada awal Selasa.
Militan Taliban, yang memerintah Afghanistan sebelum digulingkan pada akhir 2001, memperbaharui pemberontakan bersenjata, membunuh tentera kerajaan dan orang awam.
Mereka memperhebat serangan bersenjata ke atas pasukan keselamatan sejak 25 April apabila bermulanya serangan tahunan Taliban.
Wilayah Logar, yang terletak 60 kilometer di selatan ibu negara Kabul, menjadi medan pertempuran sengit antara pasukan keselamatan dan militan Taliban sejak awal tahun ini. – Bernama, 7 Ogos, 2018.
Komen