KONTROVERSI penggunaan racun serangga endosulfan, yang diharamkan di lebih 80 negara menjadi punca kematian 13 kanak-kanak di Bangladesh pada 2012, menurut penemuan kajian semalam.
Kesemua kematian, yang disebabkan keradangan otak, dikaitkan dengan pendedahan kepada buah lychee dan berlaku dalam tempoh 20 jam selepas gejala timbul, menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam “American Journal of Tropical Medicine and Hygiene”.
Kematian serupa akibat sindrom akut ensefalitis (AES) direkodkan dalam ladang laici di negara jiran India itu, walaupun menurut analisis yang diterbitkan dalam The Lancet, ia disebabkan toksin semulajadi dalam benih dan pulpa buah.
Tetapi, penulis kajian terbaru itu berkata kematian di Bangladesh itu tidak berkaitan dengan buahnya.
“Siasatan kami mendapati benih bukan punca kerana ia tidak dimakan di Bangladesh.
“Sebaliknya, kematian pada 2012 kemungkinan besar disebabkan pendedahan kepada agrokimia yang sangat toksik,” kata pengkaji utama kajian M. Saiful Islam, seorang saintis bersekutu di Pusat Antarabangsa Penyelidikan Penyakit Diare.
“Kematian ini berlaku pada masa buah laici sedang dikutip dan dimakan di seluruh Bangladesh.
“Sekiranya benih menjadi punca, kita akan melihat kes yang tersebar di seluruh negara, bukan hanya di kawasan kecil tertentu.”
Kajian itu, yang juga melibatkan penyelidik dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, didasari penyiasatan ke atas 14 kes AES pada kanak-kanak berusia antara 1 hingga 12 tahun yang berlaku antara 31 Mei dan 30 Jun 2012, di utara Bangladesh. Hanya seorang kanak-kanak yang terselamat.
Endosulfan dihentikan AS pada akhir tahun lepas dan oleh Kesatuan Eropah pada 2005. – AFP, 25 Julai, 2017.
Komen