Rakyat Venezuela berhimpun sokong presiden Maduro


Ribuan penyokong Presiden Nicolas Maduro berpakaian merah menyertai perhimpunan di pusat bandar Caracas, Venezuela semalam. – Gambar EPA, 7 Ogos, 2018.

RAKYAT Venezuela semalam berarak tanda menyokong Presiden Nicolas Maduro yang menerima ancaman bunuh pada minggu lalu.

Perhimpunan di pusat bandar Caracas itu diketuai Presiden Perhimpunan Kebangsaan, Diosdado Cabello, disertai ribuan penyokong kerajaan yang berpakaian merah, warna rasmi parti pemerintah PSUV.

Peserta perhimpunan kemudian berarak ke ibu pejabat presiden Miraflores.

Pada Sabtu lalu presiden Venezuela itu terselamat dalam satu cubaan membunuhnya, menggunakan dron yang membawa bahan letupan dan diletupkan dekat pentas tempat beliau berucap.

Pihak berkuasa menahan sekurang-kurangnya enam individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

“Serangan itu bukan hanya menentang Maduro, tetapi juga terhadap rakyat dan pegawai kerajaan,” kata Cabello.

Beliau berkata meskipun pemimpin dunia menyatakan semangat setia kawan dengan Maduro, pihak pembangkang Venezuela dilihat tidak langsung mengutuk serangan itu, sedangkan insiden seperti itu perlu dikecam walau di mana ia berlaku di sini mahupun di tempat lain. – Bernama, 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen