PILIHAN raya presiden Brazil yang akan berlangsung pada Oktober, bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 13 calon bertanding untuk merebut jawatan nombor satu negara itu.
Sejak beberapa hari lalu, parti-parti politik mengadakan konvensyen kebangsaan masing-masing untuk memilih calon dan mereka yang dipilih perlu berdaftar dengan Mahkamah Pilihan Raya sebelum 15 Ogos.
Parti Progresif Pekerja yang menguasai sebahagian besar negeri, mengesahkan bekas Presiden Luiz Inacio Lula da Silva dipilih sebagai calon mereka.
Lula sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, di bawah undang-undang Brazil sesiapa yang disabitkan kesalahan jenayah tidak dibenarkan bertanding. Bagaimanapun, peguam mewakli beliau sedang mengemukakan rayuan.
Sekiranya rayuan itu gagal, calon kedua yang dicadangkan ialah bekas Datuk Bandar Sao Paulo, Fernando Haddad.
Jika Haddad bertanding beliau akan bergandingan dengan Timbalan Parti Komunis Brazil, Manuela D’Avila.
Parti Demokrasi Sosial pula mencalonkan bekas gabenor Sao Paulo, Geraldo Alckmin.
Sementara, Gerakan Demokrasi Brazil menamakan bekas ketua kewangan Henrique Meirelles, yang berkhidmat sebagai ketua bank pusat Brazil dari 2003 hingga 2010 dan menteri kewangan dari 2016 hingga awal 2018.
Pilihan raya presiden kali ini turut menyaksikan Presiden Michel Temer yang kini menerajui pentadbiran negara tidak dicalonkan semula.
Berdasarkan undian pra-pilihan raya menunjukkan Lula meraih populariti terbanyak diikuti Jair Bolsonaro, calon Parti Liberal Sosial (PSL). – Bernama, 7 Ogos, 2018.
Komen