AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mendesak kerajaan mengangkat usul mengecam tindakan Israel yang mengepung Palestin dan menahan peserta Malaysia dalam misi flotila ke Gaza.
Katanya, beliau telahpun mengemukakan usul tersebut dan diterima oleh Speaker Dewan Rakyat pada 25 Julai lalu, namun ia diputuskan untuk tidak dibahaskan di Dewan Rakyat.
“Keputusan Speaker adalah untuk membawa usul tersebut ke Kamar Khas. Maka tidak dapat ditandatangani atau dipersetujui secara holistik seperti kebiasaan oleh semua ahli Parlimen,” katanya.
Oleh itu, beliau meminta kerajaan mengangkat usul tersebut di Dewan Rakyat supaya ia dapat dikecam oleh semua ahli Dewan, katanya.
“Saya sudah memberikan permohonan kerana kita fikir ini isu yang sangat penting yang sebelum ini tidak disentuh isu Jerusalem sehingga ke tahap ini,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Senator Raja Kamarul Bahrin Shah pula berkata isu berkenaan mungkin akan dilupai sekiranya kerajaan tidak mengambil peranan yang sewajarnya.
“Kalau dulu Arab Saudi dan Mesir lantang membantah kekejaman terhadap warga Palestin tetapi hari ini makin lama makin menyepi suara-suara mereka.
“Bekas gabenor Mesir telah datang berjumpa kami membuat aduan bahawasanya Mesir, negaranya tidak lagi bersuara tentang hak-hak minoriti terutamanya Palestin,” katanya dalam sidang media sama.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah aktivis Malaysia, Dr Mohd Afandi Salleh yang ditahan tentera Israel pada 29 Julai lalu.
Dalam kejadian itu, kapal perang tentera laut Israel menawan kapal flotila Al-Awda yang membawa kargo ubat-ubatan ke Gaza serta 22 anak kapal.
Afandi ditahan selama 36 jam di Penjara Givon. – 7 Ogos, 2018.
Komen