KERAJAAN Indonesia sentiasa aktif melibatkan “pesantren”, yang merujuk kepada pondok pengajian Islam negara itu, untuk memerangi radikalisasi.
Penasihat Dasar Undang-undang, Politik dan Keselamatan Indonesia di Kementerian Koordinator Indonesia Dr Sri Yunanto berkata kerajaannya menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa yang menangani pengganas, Badan Nasional Penanggulangan Terorisme (BNPT), serta masyarakat Islam dan organisasi lain bagi menjelaskan tafsiran sebenar Islam kepada para pelajar pesantren.
Ketika kerajaan Indonesia dan agensi berkaitan komited membanteras penyebaran ideologi radikal agama oleh golongan ekstremis, sekolah agama negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia itu menyaksikan kebangkitan radikalisasi, dan ia jelas menimbulkan kebimbangan di rantau ini.
Pada 13 Mei lepas, tiga gereja di Surabaya, Jawa Timur diserang oleh sekeluarga pengebom bunuh diri yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih daripada 40 pengunjung gereja tersebut. Keesokannya, ibu pejabat polis di Surabaya pula diserang yang menyebabkan empat pegawai polis dan enam penduduk tempatan cedera.
Pada 8 Mei lepas, sebuah pusat tahanan keselamatan di Depok di pinggir Jakarta dikepung militan dan menyebabkan kematian lima pegawai polis.
Forum untuk perbincangan
“Kami (kerajaan Indonesia) sedang bekerjasama dengan pesantren untuk memberitahu mereka (pelajar) bahawa ideologi Islam yang disebarkan oleh ekstremis adalah tidak benar. Mereka (golongan radikal) menyalahtafsirkan agama dan menggunakannya untuk keganasan,” kata Yunanto.
Beliau ditemui di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Awam dan Memerangi Keganasan anjuran Bosco Training Institute yang berpejabat di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Yunanto berkata sebagai sebahagian daripada usaha anti-radikalisasi, BNPT menubuhkan Forum Koordinasi Pencegahan Terorisme (FKPT) di semua 34 wilayah di Indonesia.
Forum itu membolehkan kerajaan, masyarakat awam, ahli akademik dan pemimpin agama membincangkan tafsiran sebenar Islam serta mempromosikan langkah-langkah menentang keganasan dan radikalisasi di Indonesia.
“Kami mendapati kebanyakan pesantren menyokong program ini.
“Kami juga percaya bahawa majoriti umat Islam Indonesia termasuk di pesantren adalah sehaluan dengan pendirian sederhana kami. Mereka juga memerangi radikalisasi,” katanya.
Pelbagai perbincangan pada sidang kemuncak dua hari itu jelas menunjukkan bahawa ideologi radikal adalah akar umbi keganasan dan dibawa oleh golongan yang menyalahtafsirkan ajaran Islam.
Yunanto menegaskan bahawa pesantren tidak terlibat dengan keganasan namun mengakui masalah hanya timbul apabila golongan radikal berjaya menembusi sekolah agama itu dan mempengaruhi guru serta pelajarnya.
Doktrin radikal
Pada 2016, Ketua BNPT Saud Usman Nasution dipetik sebagai berkata bahawa sebanyak 19 pesantren di Indonesia diketahui menyampaikan doktrin radikal.
Pada tahun sama, Menteri Agama Indonesia Lukman Hakim Saifuddin berkata pesantren tulen tidak akan mengajar doktrin yang bertentangan dengan ajaran sebenar Islam.
Pesantren dianggap sebagai institusi pendidikan Islam yang penting di Indonesia dan, oleh itu, kerajaan dan agensi-agensi berkaitan harus bekerjasama dengan sekolah-sekolah agama untuk memastikan mereka menyebarkan ajaran Islam yang benar dan mencegah pemupukan sebarang pengaruh keganasan.
Seperti yang pernah dikatakan oleh Permaisuri Rania Al-Abdullah Jordan: “Anda tidak boleh membunuh ideologi dengan peluru tetapi anda boleh membunuhnya dengan idea yang lebih baik,” pesantren yang berpegang kuat kepada ajaran Islam mempunyai apa yang diperlukan untuk menghancurkan radikalisasi di Indonesia.
Halang fundamentalis
Mantan ketua Badan Intelijen Negara Indonesia (BIN) A. M. Hendropriyono, pengembangan gerakan Wahhabi/Salafi ekstrem di Indonesia dianggap pandang sebagai satu daripada penyumbang kepada kelahiran ideologi radikal di negara itu.
Dalam bukunya yang bertajuk “Filsafat Intelijen Negara Republik Indonesia”, beliau menulis bahawa pemahaman kumpulan itu yang ekstrem, berpuak, tegar dan literal mengenai Al-Quran dan Sunnah membuat mereka merasa berhak untuk melabel orang lain, selain daripada pengikut mereka, sebagai kufur atau tidak beriman.
Menjelaskan mengenai analogi “pohon pengganas”, Hendropriyono berkata organisasi pengganas adalah ibarat sebatang pohon - akarnya mewakili ideologi radikal-ekstrem dan tanah pula merupakan fundamentalis itu sendiri.
Beliau menulis pohon itu akan layu dan mati jika tanahnya tidak subur. Begitu juga, organisasi pengganas (pohon) akan binasa jika fundamentalis (tanah) dikekang daripada hidup subur. – Bernama, 7 Ogos, 2018.
Komen