SERENA Williams berkata beliau mengalami gangguan emosi selepas melahirkan bayi, ketika juara Grand Slam 23 kali itu bergelut mengendalikan kehidupannya antara keluarga dan tenis.
Pemain tenis Amerika Syarikat berusia 36 tahun itu sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kedudukannya selepas terlepas musim WTA 2017, kerana hamil.
“Saya baca beberapa artikel tentang emosi selepas bersalin boleh dialami sehingga tiga tahun jika tidak ditangani,” katanya.
Pendedahan itu dibuatnya selepas kalah teruk di San Jose, tewas 12 perlawanan kepada Johanna Konta dengan pungutan mata yang sangat mengejutkan, paling teruk sepanjang kerjayanya, 6-1, 6-0.
Semalam, Williams menggambarkan fikirannya pada masa ini sebagai “takut”.
“Minggu lepas amat susah untuk saya. Saya rasa seperti bukan seorang ibu yang baik,” katanya di akaun Instagram.
Katanya, beliau cuba menangani kesedihannya dengan berkongsi perasaannya dengan keluarga dan rakan.
“Bercakap dengan emak, adik-beradik, kawan, membuatkan saya fikir perasaan ini normal. Adalah normal untuk rasa yang saya tidak cukup baik untuk bayi saya. Sama ada duduk di rumah atau keluar bekerja, mencari keseimbangan dengan anak sesuatu yang sukar,” katanya.
Penganjur pada Sabtu mengumumkan Williams menarik diri daripada perlawanan WTA Montreal minggu ini kerana “sebab peribadi”.
Williams melahirkan seorang bayi perempuan diberikan nama Olympia secara pembedahan pada September lalu. – AFP, 7 Ogos, 2018.
Komen