New York lulus undang-undang sekat Airbnb


DATUK bandar New York pada Isnin menandatangani undang-undang bersejarah yang memaksa platform perkongsian kediaman seperti Airbnb untuk mendedahkan maklumat tentang tuan rumah dan mengenakan denda berat kepada kesalahan tidak patuh.

Bandar kewangan AS itu adalah bandar terbaru yang meletakkan kekangan ke atas Airbnb ketika wujud serangan balas seluruh dunia terhadap “ekonomi perkongsian” yang mengacau industri tradisional.

Penyokong perundangan New York itu yang dilaporkan akan berkuatkuasa dalam tempoh 180 hari, berhujah yang ia akan menghalang aktiviti sewa jangka pendek yang dakwa mereka menaikkan harga sewa dan menyebabkan rumah lebih mahal.

Airbnb menuduh kumpulan pelobi hotel berpengaruh bandar itu memperjuangkan perundangan itu, berhujah yang majoriti penggunanya adalah penduduk New York yang kesusahan mahu mendapatkan wang sampingan dengan menyewakan bilik lebih dalam rumah mereka.

Undang-undang itu menghendaki platform sewa masa pendek itu melaporkan transaksi kepada pihak berkuasa bandar dan mengenakan denda AS$1,500 per senarai, per bulan untuk setiap pelaporan yang tidak tepat.

Josh Meltzer, ketua dasar timur laut Airbnb berkata, “ramai pemilik rumah yang bertanggungjawab kini berdepan dengan dasar agresif tanpa penelitian dan bimbang apakah yang akan berlaku dengan perundangan baharu ini.”

New York adalah pasaran terbesar Airbnb di Amerika Syarikat.

Awal tahun ini, jumlah sewa Airbnb di Jepun jatuh mendadak selepas undang-undang baharu memerlukan pemilik mendapatkan lesen kerajaan dan mematuhi pelbagai syarat yang kata pengkritik sangat ketat.

New Yorks sudah mengetatkan peraturan pada 2016, mengenakan denda ke atas pemilik apartmen yang menyewakan kediaman mereka kurang daripada 30 hari- kecuali pemilik atau penyewa berada bersama-sama dalam kediaman itu. – AFP, 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen