ARAB Saudi dan Kanada pada Isnin tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengalah dalam kemelut hak asasi yang semakin tegang, selepas Riyadh memutuskan hubungan dengan Ottawa yang mendesak pembebasan aktivis dipenjarakan negara itu.
Kerajaan Arab Saudi mengusir duta Kanada, memberikannya 24 jam untuk keluar, dan memanggil pulang dutanya di Ottawa, serta membekukan semua perdagangan antara kedua-dua negara selepas mengecam tindakan Ottawa yang disifatkan “masuk campur” dalam urusan dalam negaranya.
Ottawa pula tidak mahu mengalah walaupun dutanya, Dennis Horak diusir Arab Saudi dengan Menteri Luar Kanada Chrystia Freeland berkata yang Kanada akan terus membela hak asasi di seluruh dunia.
Kemelut itu tercetus ketika dasar pembaharuan negara yang agresif sedang diterajui Putera Mahkota Mohammed bin Salman. Ia berlaku selepas Kanada menyuarakan bantahan terhadap operasi menggempur aktivis hak asasi manusia dan aktivis hak wanita di Arab Saudi.
“Negara mengumumkan akan memanggil pulang dutanya ke Kanada untuk rundingan. Kami juga menganggap duta Kanada ke negara sebagai persona non grata dan mengarahkan beliau keluar dalam tempoh 24 jam,” kata Kementerian Luar Saudi pada awal Isnin.
Kementerian juga mengumumkan “pembekuan semua perdagangan baharu dan pelaburan melibatkan Kanada dan mengekalkan haknya untuk membuat tindakan lanjut”.
Pada hari Isnin juga, kemelut itu semakin teruk apabila Riyadh memutuskan memindahkan ratusan ribu pelajarnya di Kanada ke negara lain dan syarikat penerbangan Arab Saudi, Saudia mengumumkan ia menunda semua penerbangan dari dan ke Toronto.
Menteri Luar Adel al-Jubeir berkata Arab Saudi akan “menangani semua campur tangan tanpa teragak-agak”, menyifatkan pendirian Kanada sebagai “dibina daripada silap maklumat”, dalam satu kenyataan dilapor media negara itu.
Minggu lepas, Kanada berkata yang ia “sangat bimbang” dengan penangkapan besar-besaran aktivis hak asasi, termasuklah aktivis kesaksamaan gender yang pernah terima anugerah, Samar Badawi dan mendesak Riyadh “membebaskan mereka serta merta”.
Pada Isnin, Kanada terus mengulangi pendirian tegasnya.
“Kanada akan sentiasa berjuang membela hak asasi, di Kanada dan di seluruh dunia, dan hak wanita adalah hak asasi,” kata Freeland di Vancouver.
Samar ditangkap bersama-sama rakan aktivis Nassima al-Sadah minggu lepas, adalah mangsa terbaru yang disifatkan Human Rights Watch sebagai “operasi menggempur besar-besaran dilakukan kerajaan ke atas pergerakan hak wanita”.
Adik Samar, penulis blog Raif Badawi pula ditahan pada 2012 dan dijatuhi hukuman sebat 1,000 kali dan 10 tahun penjara kerana “menghina Islam” dalam kes yang mencetuskan bantahan seluruh dunia.
Tangkapan terbaru itu berlaku seminggu selepas berpuluh aktivis hak wanita ditahan dan didakwa mengancam keselamatan negara dan bekerjasama dengan musuh negara. Kebanyakan mereka sudah dibebaskan.
Putera Mohammed, waris kepada kerajaan diraja itu memperkenalkan beberapa dasar pembaharuan seperti membatalkan larangan wanita memandu dalam usaha menghapuskan imej negara itu yang menekan.
Tetapi putera raja berusia 32 tahun itu juga melaksanakan dasar asing yang menyerang-termasuklah menerajui sekatan ke atas negara jiran, Qatar dan menentang Iran yang dituduhnya menyokong pemberontak Huthi di Yaman- pada masa yang sama menggempur penentang dalam negaranya.
Emirah Arab Bersatu, rakan sekutunya yang rapat menyokong tindakan Saudi terhadap Kanada, dengan seorang pegawai tinggi kerajaan menyifatkan tindakan Ottawa “tidak boleh diterima.” – AFP, 7 Ogos, 2018.
Komen