Pekerja sementara ladang musnahkan sekatan Orang Asli


Sheridan Mahavera

Sekatan Orang Asli di Kaleg, Gua Musang adalah untuk membantah penerokaan besar-besaran hutan tanah adat mereka yang menjejaskan kelangsungan hidup mereka. Sekatan itu dimusnahkan sekumpulan lelaki dua hari selepas lawatan timbalan menteri persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

SEORANG peladang di Kelantan mendedahkan pihak bertanggungjawab memusnahkan sekatan di Gua Musang Sabtu lepas, yang menjadi tempat ketegangan kemelut antara peladang dan Orang Asli kawasan tersebut.

Sekumpulan lelaki yang memusnahkan sekatan itu bergantung kepada tuaian nenas dan getah yang ditanam dalam ladang di hutan Balah, kata seorang jurucakap kepada dua syarikat perladangan terbabit.

Hanif Abdul Kudus berkata lelaki itu berasal dari kawasan Kuala Betis dan bertindak sebagai pekerja sementara ladang tersebut.

Hanif adalah jurucakap kepada KPG Maju Enterprises Sdn Bhd dan Fleet Precision Sdn Bhd. Kedua-dua syarikat itu memiliki 5,000 ekar tanah pertanian berhampiran hutan Balah, kebanyakannya digunakan untuk penanaman getah.

Kumpulan lelaki yang memusnahkan sekatan itu tidak digaji secara terus oleh dua syarikat terbabit tetapi menjaga dan menuai hasil tanaman seperti nenas dan getah, kata Hanif.

“Mereka kemudiannya akan jual tuaian itu kepada syarikat perladangan untuk dapat untung,” kata Hanif kepada The Malaysian Insight.

Sekatan Kaleg telah menganggu pekerja mereka kerena sekatan itu diadakan di satu-satunya jalan menghubungkan Kuala Betis dan ladang terbabit.

“Pendapatan mereka terjejas kerana mereka tak boleh masuk ke dalam ladang untuk menuai. Kerana itulah mereka bertindak kerana terdesak dan memusnahkan sekatan itu.

“Sekatan itu haram kerana ia di atas jalan raya awam. Mereka menyekat penduduk setempat untuk keluar pergi kerja. Pihak berkuasa patutnya musnahkan sekatan itu awal lagi.

“Perladangan kami dapat kelulusan kerajaan negeri dan sokongan pemimpin Orang Asli.”

Bantahan Orang Asli terhadap sikap kerajaan negeri dan syarikat perladangan meneroka tanah adat mereka tanpa mempertimbangkan kesannya kepada kehidupan mereka mencapai kemuncaknya apabila sekatan dibina mereka dirobohkan pihak tidak dikenali.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

Pada 4 Ogos, sekumpulan lelaki menggunakan gergaji rantai besi memusnahkan sekatan itu, dua hari selepas dilawati Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Sivarasa Rasiah.

Sekatan itu dibina oleh aktivis suku kaum Temiar dari Pos Tohoi dan Simpor untuk menghalang peladang dan pembalak daripada terus memusnahkan tanah adat mereka.

Hanif menegaskan yang syarikat itu tidak mengarahkan atau bersetuju dengan serangan itu.

“Bila orang tak dapat beri makan yang cukup kepada keluarga mereka, apa yang anda harap mereka buat? Sekatan itu wujudkan ketegangan dan konflik.”

Hanif mendakwa sebelum ini sudah ada dua sekatan di jalan sama pada 2012 dan 2016 tetapi mereka tidak menghalang peladang atau kenderaan milik peladang untuk masuk.

“Ia adalah kerana kami dapat sokongan ketua kampung yang bolehkan kami masuk. Ketua tandatangan surat sokongan kepada perladangan kami.

“Jadi itulah sebabnya mereka tak halang kami masuk. Jadi kami terkejut bila sekatan kali ini kami juga jadi sasaran.”

Hanif turut mempersoalkan kesahan aktivis Temiar yang menjadi tulang belakang sekatan itu, berkata mereka tidak mewakili keseluruhan suku kaum itu yang tinggal berhampiran ladang.

Terdapat hampir enam kampung utama suku kaum Temiar yang berada antara jalan utama dari Kuala Betis ke ladang. Hanif mendakwa beliau mendapat sokongan lima ketua kampung ketika mula beroperasi pada 2010.

“Saya tak tahu daripada mana aktivis ini datang tetapi saya dapat sokongan ketua kampung yang saya percaya adalah wakil sebenar kampung terbabit.”

Sepucuk surat yang dilihat The Malaysian Insight, tok batin Seman Senaweng, Gorbon Garyon, Abong Lehya, Rahmat Abdullah dan Anjang Akad berkata mereka menyokong operasi Fleet Precision Sdn Bhd.

Hanif berkata beliau juga adalah jurucakap dan perunding untuk Fleet Precision yang merupakan pemilik beberapa buah ladang di situ.

Beliau juga bersedia bekerjasama dengan Sivarasa dan kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan konflik antara syarikat perladangan dan Orang Asli itu.

“Sivarasa ada niat baik. Beliau mahu cari jalan penyelesaian untuk isu ini. Saya juga bersedia untuk bekerja dengan mereka untuk melihat sama ada kita boleh sediakan tanah untuk Orang Asli dan cipta aktiviti ekonomi baru untuk mereka.” – 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen