Lelaki bunuh 3 anak selepas gaduh dengan isteri


Seorang lelaki di negeri Andhra Pradesh di selatan India telah didakwa membunuh tiga anak lelakinya yang masih kecil dengan membuang mereka ke dalam sungai selepas bergaduh dengan isterinya, kata polis kata Isnin.– Gambar AFP, 6 Ogos, 2018.

SEORANG lelaki di negeri Andhra Pradesh di selatan India telah didakwa membunuh tiga anak lelakinya yang masih kecil dengan membuang mereka ke dalam sungai selepas bergaduh dengan isterinya, kata polis kata Isnin.

Mayat kesemua kanak-kanak lelaki itu, yang berusia enam tahun, tiga tahun dan tiga bulan, telah dibawa keluar dari sungai berkenaan di daerah Chittoor, terletak 485 kilometer di selatan Amaravati, bandar utama di Andhra Pradesh, lapor agensi berita China Xinhua.

“Pagi ini, mayat ketiga-tiga kanak-kanak itu ditemui oleh penduduk tempatan dalam keadaan terapung di sungai Neeva berhampiran sebuah jambatan di mandal Gangadara Nellore di sini sebelum mereka memaklumkan kami,” kata seorang pegawai polis yang bertugas di Chittoor.

“Kami telah dimaklumkan bahawa bapa mereka sendiri yang membunuh ketiga-tiga kanak-kanak dengan membuang mereka ke dalam sungai selepas bertengkar hebat dengan isterinya.”

Anggota polis berkata mereka telah memberkas lelaki itu dan sedang menyiasat kes tersebut.

Laporan media menyebut pasangan itu telah bergaduh sebelum si isteri pulang ke rumah ibu bapanya bersama anak-anak mereka.

“Kami juga dimaklumkan  bahawa malam semalam si suami telah pergi untuk membawa pulang isteri dan anak-anaknya. Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang, pasangan itu telah bertengkar dan bergaduh semula dan ketika berada dalam keadaan berang, lelaki itu telah bertindak menolak anak-anak lelakinya ke dalam sungai,” kata pegawai polis itu.– Bernama, 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen