New Zealand bakal adakan latihan gempa bumi, tsunami


Menteri Pertahanan Awam, Kris Faafoi, berkunjung ke Zoo Wellington pada Isnin untuk mengucapkan tahniah kepada mereka kerana menjadi peserta ke-500,000 yang mendaftar.– Gambar AFP, 6 Ogos, 2018.

KERAJAAN New Zealand akan mengadakan latihan gempa bumi dan tsunami peringkat kebangsaan yang dinamakan sebagai ShakeOut 2018 pada 18 Okt, dengan setengah juta peserta telah mendaftar setakat ini.

Menteri Pertahanan Awam, Kris Faafoi, berkunjung ke Zoo Wellington pada Isnin untuk mengucapkan tahniah kepada mereka kerana menjadi peserta ke-500,000 yang mendaftar, lapor agensi berita China Xinhua.

“Zoo Wellington mempunyai lebih 250,000 orang yang melalui pintunya setiap tahun, jadi amat bagus untuk melihat mereka memiliki pelan persediaan yang menakjubkan bagi menampung keperluan tetamu, petugas dan haiwan,” kata Faafoi.

Beliau juga berharap semua organisasi masyarakat, tempat kerja dan isi rumah menggunakan ShakeOut sebagai satu peringatan untuk memeriksa kesediaan pelan serta bekalan kecemasan mereka.

“Seluruh New Zealand berdepan risiko dilanda gempa bumi dan tsunami,” kata menteri itu ketika menyeru agar lebih ramai orang mengambil bahagian dalam latihan ShakeOut.– Bernama, 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen