1MDB gagal patuhi amalan tadbir urus, kata menteri


Melati A. Jalil

Laporan audit awal oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) gagal mematuhi amalan tadbir urus korporat yang baik, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2018.

LAPORAN audit awal oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) gagal mematuhi amalan tadbir urus korporat yang baik, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata dapatan tersebut didedahkan kepada kerajaan semasa mesyuarat dengan juruaudit tersebut di Parlimen, hari ini.

“Kami bermesyuarat dan sudah tentu kami sekali lagi terkejut dengan laporan audit awal yang dihantar PwC berhubung 1MDB.

“Ia menunjukkan kegagalan pengurusan terdahulu untuk mematuhi amalan tadbir urus korporat yang baik.

“Laporan itu menyebut ia tidak mematuhi prinsip asas pengurusan dan tadbir urus korporat yang baik,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen.

Lim berkata kementeriannya bercadang untuk mendedahkan laporan akhir oleh PwC itu kepada umum.

“Rakyat ada hak untuk tahu,” katanya.

Pada Januari 2017, bekas perdana menteri Najib Razak mengakui terdapat kelemahan dalam tadbir urus korporat 1MDB.

Najib, yang menubuhkan 1MDB dan pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat syarikat itu, didakwa bulan lalu atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan sebagai pegawai kerajaan dengan menerima RM42 juta rasuah.– 6 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen