AMERIKA Syarikat (AS) menafikan negara itu terlibat dalam cubaan membunuh presiden Venezuela dengan menggunakan dron, kata seorang pegawai kanan Rumah Putih pada Ahad.
“Saya dengan tegas mengatakan AS tidak teribat dalam perkara itu,” demikian kata John Bolton, penasihat keselamatan negara Rumah Putih.
Sebaliknya menurut beliau, kerajaan pimpinan Nicolas Maduro yang mungkin dalang kejadian itu, memandangkan rasuah dan penindasan berleluasa di Venezuela.
“Jika kerajaan Venezuela mempunyai maklumat yang ingin diberitahu mengenai terdapatnya potensi pelanggaran undang-undang jenayah AS, kami akan menyiasatnya dengan serius,” katanya.
Maduro sering menuduh AS yang telah mengenakan sekatan terhadap pegawai-pegawai kerajaannya sebagai satu “konspirasi” dan menyalahkan negara itu sebagai pencetus kepada rancangan untuk menjatuhkannya bagi menumbangkan amalan sosialisme yang telah berlangsung selama dua dekad di Venezuela.
Kumpulan dikenali sebagai “Gerakan Nasional Tentera Nasional Berpakaian Awam” mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan pada Sabtu itu.
Venezuela dihimpit krisis ekonomi yang teruk sejak lima tahun lalu, menyaksikan negara itu berdepan masalah kekurangan zat makanan dan hiperinflasi, selain mengakibatkan puluhan ribu orang terpaksa melarikan diri ke sempadan ke Colombia dan Brazil.– Bernama, 6 Ogos, 2018.
Komen