10 murid terbunuh dalam nahas bas bertembung lori di Kenya


ANGKA kematian dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas sekolah dan sebuah lori di pekan Mwingi, kira-kira 170 kilometer dari Nairobi, pada Sabtu telah meningkat kepada 10 orang selepas dua lagi murid meninggal dunia akibat kecederaan ketika menjalani rawatan di hospital.

Seorang daripada lima murid yang cedera dalam insiden itu dan dipindahkan ke Hospital Nasional Kenyatta di Nairobi telah meninggal dunia pada Ahad manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Mwingi.

Lapan murid maut di tempat kejadian pada Sabtu apabila bas sekolah yang mereka naiki bertembung sebuah lori dari arah bertentangan di jambatan Kanginga, kira-kira satu kilometer dari pekan Mwingi, di jalan Thika-Garissa.

Pegawai polis yang bertanggungjawab di daerah Mwingi, John Nyamu, berkata pemandu bas sekolah didapati memandu laju dan sedang memotong kenderaan lain ketika nahas itu berlaku.

Pengetua sekolah terbabit pengsan selepas menerima berita mengenai tragedi menyayat hati itu sebelum jatuh koma, menurut Setiausaha Pendidikan Keuskupan Katolik Kitui, Paderi Julius Muthamba.

Bas itu, yang membawa murid Akademi St. Gabriel, sedang dalam perjalanan pulang ke Mwingi selepas satu lawatan sambil belajar di Mombasa ketika nahas berlaku. 

Bas itu dikatakan telah bertembung dengan lori terbabit sebelum terbabas ke dalam Sungai Kanginga pada kira-kira 11 malam Sabtu. 

Ia membawa 44 penumpang yang terdiri daripada 40 murid, tiga guru dan seorang matron.– Bernama, 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen