Utem ditegur kes tandatangan projek RM14.85 juta


SM Amin

Sebanyak 19 projek tersebut didapati ditandatangani oleh naib canselor dan bendahari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) walaupun tidak diberi kuasa oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU). – Gambar UteM, 6 Ogos, 2018.

KETUA Audit Negara menegur Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) berhubung pemberian projek bernilai RM14.85 juta yang ditandatangani naib canselor dan bendahari universiti tersebut.

Sebanyak 19 projek tersebut didapati ditandatangani oleh pegawai kanan berkenaan walau tidak diberi kuasa oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada Isnin menyebut, Seksyen 50 Perlembagaan UTeM telah menetapkan kontrak UTeM hendaklah dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh pegawai UTeM yang diberi kuasa oleh LPU.

“Semakan Audit mendapati sebanyak 19 dokumen kontrak dengan nilai kerja RM14.85 juta telah sama ada ditandatangani oleh naib canselor (RM6.81 juta) atau bendahari UTeM (RM8.04 juta) tanpa diberi kuasa oleh LPU.

“Perkara ini berlaku disebabkan pihak UTeM beranggapan bahawa kuasa menandatangani kontrak atau dokumen perolehan adalah salah satu proses operasi kewangan yang mana berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan UTeM, ia adalah di bawah tanggungjawab naib canselor sebagai ketua pegawai eksekutif,” katanya.

Selain itu, audit juga mendapati empat perolehan secara tender bernilai RM2.65 juta dan enam perolehan secara sebut harga bernilai RM2.16 juta tidak dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Harga.

Laporan penilaian tender dan sebut harga UTeM menunjukkan jawatankuasa tersebut tidak bersidang disebabkan faktor kekangan masa ahli. 

“Tanpa penilaian oleh jawatankuasa tersebut boleh menyebabkan harga terbaik tidak dapat dinilai,” katanya.

Universiti itu bagaimanapun didapati mengambil tindakan penambahbaikan setelah menerima teguran audit berhubung kuasa LPU itu.

Selain daripada itu, audit turut mengesyorkan supaya UTeM mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan perolehan. – 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen