.jpg)
MERUJUK kenyataan ahli Parlimen Kuantan yang mendakwa Wanita PKR telah menjadi ‘pak turut’ dan tidak berani menegur kepimpinan utama satu kenyataan yang tidak berasas dan amat mengecewakan.
Pemilihan parti merupakan satu agenda besar demokrasi dalam keluarga PKR dan ia sepatutnya menjadi medan untuk menunjukkan kebolehan dari sudut urus tadbir, tawaran manifesto yang progresif, dan komitmen terhadap perjuangan parti.
Sebagai sebuah parti yang progresif dan matang, adalah dangkal untuk seseorang calon meremehkan kewibawaan dan kredibiliti seseorang pemimpin dengan cara melontarkan kenyataan spekulasi seolah-olah Wanita dalam PKR lemah dan tidak berdaya menegur.
Wanita PKR di bawah pimpinan Zuraida Kamarudin sentiasa konsisten dan komited memperjuangkan agenda memartabatkan wanita Malaysia. Sayap Wanita yang sentiasa peduli dan mengutamakan isu-isu wanita telah diberi pengiktirafan sehingga ketua wanita PKR diberi mandat juga untuk menerajui Wanita Pakatan Harapan. Ini satu pengiktirafan yang sangat bermakna.
Dalam konteks memperjuangkan kuota 30 peratus wanita dalam pembuat dasar, sayap pimpinan wanita PKR sering kali dan berani menegur pimpinan utama supaya serius menerapkan agenda wanita dalam perjuangan parti.
Dalam isu perkahwinan kanak-kanak yang semakin berleluasa, termasuk membabitkan perkahwinan kanak perempuan yang berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Selatan Thailand baru-baru ini, Wanita PKR di bawah pimpinan Zuraida sebagai ketua dan Haniza Talha sebagai timbalannya telah lantang mempersoalkan isu ini dan mendesak pimpinan utama mengambil tindakan yang tegas termasuk meminda had umur minimum perkahwinan wanita Islam, iaitu daripada 16 tahun dinaikkan kepada 18 tahun.
Pendirian Wanita PKR dalam hal ini ialah kita mahukan perkahwinan kanak-kanak dimansuhkan dan bukannya dengan cara menetapkan SOP perkahwinan kanak-kanak.
Jelas dengan perbahasan dan perbezaan pandangan dalam bab perkahwinan kanak-kanak ini menunjukkan bahawa tidak wujudnya budaya ‘pak turut’ yang tidak sihat kepada perkembangan pembangunan Wanita PKR.
Saya berharap agar kempen pemilihan parti yang akan berlangsung dalam dua bulan ini, tiada lagi yang menuding jari dan meremehkan kepimpinan pihak lain.
Ia sepatutnya bersifat kepada perbandingan perbahasan dengan routemap bagaimana untuk memartabatkan wanita dan mengemukakan dasar-dasar wanita yang dapat memperlengkapkan wanita Malaysia. Wanita PKR perlu bersedia untuk memberikan khidmat dan cadangan dalam pelbagai aspek demi mendepani cabaran dan isu wanita di masa hadapan. – 6 Ogos, 2018.
* Chua Yee Ling adalah bekas adun Kuala Sepetang dan calon naib ketua Wanita PKR Pusat.
Komen