Nahas udara di Switzerland ragut 24 nyawa


Sabtu lalu sebuah pesawat vintaj membawa 20 penumpang terhempas di Alpen Switzerland, manakala sebuah pesawat ringan terhempas dan terbakar dekat bandar Hergiswil, meragut nyawa empat sekeluarga. – Gambar fail AFP, 6 Ogos, 2018.

KESEMUA 20 penumpang pesawat vintaj yang terhempas di Alpen Switzerland pada Sabtu dilaporkan terbunuh, menurut agensi berita Xinhua, memetik polis tempatan pada Ahad.

Sebelum terhempas, pesawat yang dinaiki 17 penumpang dan dua juruterbang itu dikatakan terbang pada ketinggian 2,540 meter di bahagian barat gunung Piz Segnas. 

“Harapan untuk menemui mangsa yang selamat adalah tipis,” kata ketua polis Graubuenden, Andreas Tobler kepada wartawan lapor agensi berita Swiss SDA-ATS.

Menurut laman web Swissinfo, semua penumpang adalah warga Switzerland, kecuali pasangan dari Austria dan anak lelaki mereka.

Pesawat model Junker Ju-52, dibina pada 1939, dimiliki dan dikendalikan syarikat penerbangan tempatan JU-AIR, yang khusus menyediakan perkhidmatan pesawat persiaran.

“Punca kemalangan masih belum diketahui,” kata Daniel Knecht dari Lembaga Siasatan Keselamatan Pengangkutan Switzerland, sambil menambah pesawat malang itu menjalani pemeriksaan setiap 35 jam dan kali terakhir ialah pada Julai lepas.

Dalam satu lagi nahas pada Sabtu, sebuah pesawat ringan terhempas dan terbakar dekat bandar Hergiswil, meragut nyawa empat sekeluarga, kata polis daerah Nidwalden.

Kedua-dua nahas udara itu berlaku hanya seminggu selepas sebuah lagi pesawat ringan terhempas di dareah Valais, mengorbankan empat nyawa. – Bernama, 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen