6 ditahan cubaan bunuh presiden Venezuela


Presiden Venezuela Nicolas Maduro menuduh pihak pembangkang dengan dibantu negara jiran Columbia serta anggota radikal di Miami Amerika Syarikat, sebagai perancang dalam cubaan membunuhnya. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2018.

PIHAK berkuasa Venezuela menahan enam individu, disyaki terlibat dalam percubaan membunuh Presiden Nicolas Maduro, lapor agensi berita Xinhua, demikian menurut seorang menteri.

“Pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan serta bersubahat, sama ada di dalam atau di luar negara, telah dikenal pasti. Lebih banyak lagi tangkapan akan dibuat selepas ini,” kata Menteri Dalam Negeri, Nestor Luis Reverol.

“Beberapa buah kenderaan juga dirampas dan bilik hotel digeledah untuk mencari video sebagai bukti penting. Ia adalah tindakan keganasan dan percubaan membunuh seorang ketua negara yang jelas menunjukkan ia satu tahap baharu keganasan,” kata Reverol.

Perbuatan itu juga dilihat sebagai cubaan membunuh pengunjung yang hadir, termasuk orang dan pegawai awam, pegawai tinggi tentera serta menteri.

Reverol menggesa komuniti antarabangsa untuk tidak menutup mata dengan apa yang terjadi dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan atas tindakan pantas mereka.

Menteri Komunikasi dan Maklumat Jorge Rodriguez pada Sabtu menyatakan percubaan bunuh terhadap Maduro menggunakan dron yang membawa bahan letupan, dan diletupkan dekat pentas ketika berucap sempena ulang tahun ke-81 pengawal negara.

Maduro, 55, terselamat dalam kejadian itu dan menuduh pihak pembangkang dengan dibantu negara jiran Columbia serta anggota radikal di Miami Amerika Syarikat, sebagai perancang dalam cubaan membunuh itu. – Bernama, 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen