Wartawan Palestin bantah Israel penjarakan rakan sekerja


Bantahan dianjurkan sebuah pertubuhan wartawan Palestin, menuntut 21 wartawan yang dipenjara rejim zionis di penjara Ofer Israel dibebaskan. – Gambar fail AFP, 6 Ogos, 2018.

BERDOZEN-dozen wartawan Palestin mengadakan bantahan di pintu penjara Ofer Israel di bandar Ramallah, Tebing Barat pada Ahad menuntut 21 wartawan yang dipenjara rejim zionis dibebaskan. 

Sambil memegang poster yang memaparkan wajah-wajah wartawan itu, penunjuk perasaan mendesak Israel segera membebaskan rakan sekerja mereka, lapor agensi berita Xinhua pada Isnin.

Bantahan dianjurkan sebuah pertubuhan wartawan Palestin, kata seorang daripada ahlinya Omar Nazzal.

Tindakan Israel ke atas organisasi media “diperhebatkan pada minggu lalu dengan penangkapan enam wartawan yang cuba membongkar mengenai kebenaran di sebalik perbuatan mengyahudikan, pembunuhan dan penerokaan di Palestin.”

Omar Nazzal berikrar, meskipun ditangkap dan dicederakan, misi kewartawanan tetap akan diteruskan dan mendesak masyarakat antarabangsa untuk melindungi wartawan Palestin.

Setiausaha Agung Parti Inisiatif Nasional Palestin Mustafa Barghouti berkata “Israel telah melakukan pelbagai jenis penindasan kejam dengan menahan wartawan di Tebing Barat dan membunuh mereka di Gaza, semasa membuat liputan Perarakan Pulang Besar-Besaran atau perhimpunan Great March of Return.”

Menurut Kementerian Penerangan Palestin, Israel telah memenjarakan 21 wartawan Palestin, termasuk Alaa Rimawi, 40, yang mengumumkan mogok lapar sebagai protes penahanannya minggu lalu.

Israel dituduh melanggar undang-undang antarabangsa berhubung layanan terhadap wartawan Palestin, lantaran itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu didesak untuk melaksanakan Resolusi PBB 2222 berkaitan hak-hak wartawan. – Bernama, 6 Ogos, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen