4 juta orang di Assam dinafi sebagai warganegara India


Pengecualian sebegitu ramai orang menimbulkan kebimbangan tentang potensi berlakunya keganasan mengenai hak asasi mereka memandangkan mereka mungkin dinafikan jaminan perlembagaan yang dinikmati warganegara India. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2018.

NEGERI Assam di timur laut India diselubungi kekecohan politik selepas empat juta orang di wilayah yang bersempadan dengan Bangladesh tidak diterima sebagai warganegara India.

Pertelingkahan tercetus antara parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) dan pembangkang selepas kerajaan baru-baru ini menerbitkan deraf Pendaftar Warganegara Kebangsaan (NRC) di Assam.

Deraf berkenaan mempunyai 29 juta nama dari sejumlah 32.9 juta yang mengemukakan permohonan.

Pengecualian sebegitu ramai orang menimbulkan kebimbangan tentang potensi berlakunya keganasan mengenai hak asasi mereka memandangkan mereka mungkin dinafikan jaminan perlembagaan yang dinikmati warganegara India.

“Dengan menafikan taraf kewarganegaraan bagi 40 lakh (empat juta) orang daripada kumpulan minoriti agama dan bahasa yang sudah bertahun-tahun tinggal di wilayah itu, kerajaan BJP di peringkat persekutuan dan di Assam jelas menunjukkan dasar politik yang sempit,” kata pemimpin Dalit, Mayawati.

Pemimpin pembangkang menuduh kerajaan bermain politik untuk isu kewarganegaraan di Assam di mana kumpulan yang mempertahankan identiti sebagai warganegara Assam mendakwa penduduk bertutur bahasa Benggali, kebanyakannya beragama Islam adalah pendatang haram dari Bangladesih.

Dakwaan berkenaan ditolak oleh Dhaka yang menyifatkan isu tersebut sebagai urusan dalam negeri India.

“Kami melihat isu ini sebagai isu dalam negeri serta politik tempatan di Assam. Ia tidak ada kena mengenai dengan Bangladesh. Kerajaan India belum membincangkan isu ini dengan kami dan kami juga tidak merancang membangkitkan isu ini dengan India, “ Menteri Penerangan Bangladesh, Hasanul Haque Inu dipetik sebagai berkata oleh media India.

“Tidak ada pendatang haram dari Bangladesh di India. Isu ini, izinkan saya tekankan, tidak pernah dibincangkan antara kami dan India sejak 48 tahun lepas,” katanya.

Ketua Menteri negara jiran, Benggala Barat, Mamata Banerjee adalah antara pengkritik yang lantang mengecam langkah NRC.

“Langkah yang dibuat NRC itu ada motif politik. Kami tidak akan membiarkan ianya berlaku. BJP cuba memecah-belahkan penduduk,” kata Banerjee dalam satu persidangan di New Delhi minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Persekutuan, Rajnath Singh menyeru semua pihak supaya bertenang dan menyatakan deraf yang diisiarkan pada 30 Julai itu belum “muktamad”dan mereka yang terciri daripada senarai itu masih mempunyai peluang untuk membuktikan kewarganegaraan mereka.

“Tidak ada tindakan keras akan dikenakan kepada sesiapa. Tidak perlu berasa cemas,” katanya.

Bagaimanapun, kekecohan yang berlaku tidak mungkin reda dengan segera.

Arun Jaitley, menteri kabinet dalam kerajaan Narendra Modi dalam blognya menimbukan isu masyarakat Hindu yang dianaktirikan di Assam.

Beliau memetik arahan Mahkamah Agong dalam blognya bahawa kebanjiran pendatang haram menjadikan kawasan di Assam sebagai rantau yang didiami majoriti penduduk beragama Islam dan ini mungkin menyebabkan mereka menuntut penyatuan dengan Bangladesh.

Pertelingkan terus tercetus antara anggota BJP dan parti pembangkang di Parlimen.

Pemimpin Parti Telugu Desam, Y.S. Chowdary berkata  “prosedur operasi piawaian”tidak dipatuhi sebeum mengisytiharkan orang sebagai bukan warganegara.

“Saya tak faham apa yang NRC fikir untuk lakukan terhadap empat juta orang itu,” katanya.

Mereka yang mempunyai dokumen untuk membuktikan mereka atau anggota keluarga mereka sudah tinggal di Assan sebelum tengah malam 24 Mac 1971 layak dimasukkan dalam daftar NRC.

Pelbagai kesilapan dan sikap berat sebelah terhadap orang Islam berlaku dalam proses berkenaan.

Menurut Mohammad A. Haq, nama beliau tidak termasuk dalam senarai di sebalik puluhan tahun berkhidmat dengan pasukan tentera India.

“Saya berkhidmat selama 30 tahun dengan pasukan tentera India. Saya sedih nama saya tidak tersenarai dalam NRC. Saya berkhidmat dengan sepenuh komitmen untuk negara. Saya ada data legasi ibu bapa saya. Siasatan perlu dibuat dengan adil dan saksama, “Haq memberitahu agensi berita India.

Ribuan orang dari masyarakat Gorkha juga dikecualikan.

Parti politik serantau, All India United Democratic Front (AIUDF), berkata nama beberapa orang pemimpinnya tidak terdapat dalam senarai yang diterbitkan.

Bdruddin Ajmal, ketua AIUDF dan ahli Parlimen berkata ada orang yang secara pantasnya dilabel sebagai orang Bangladesh.

Ajmal berkata kerajaan Kongres yang terdahulu tidak ikhlas dalam menyediakan NRC dan pentadbiran BJP juga tidak melakukannya dengan jujur. – Bernama, 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen