LAPORAN Ketua Audit Negara mendedahkan, syarikat yang mengurus Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut.
Laporan itu menyebut, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) mengalami kerugian sebelum cukai berturut-turut pada tahun 2014, 2015 dan 2016 disebabkan oleh perbelanjaan yang tinggi.
Perbelanjaan itu terutamanya melibatkan belanja faedah atas pinjaman sehingga menyebabkan keseluruhan kedudukan kewangan syarikat berada dalam keadaan kurang stabil, kata laporan itu.
“Pada 31 Disember 2016, JKSB mengalami kerugian terkumpul berjumlah RM1.22 bilion berbanding RM894.87 juta pada tahun 2015. Jumlah kerugian terkumpul ini didapati telah melebihi jumlah modal saham dibenarkan iaitu RM800 juta.
“Analisis kewangan bagi tahun 2014 hingga 2016 menunjukkan pendapatan yang diperoleh daripada hasil kutipan tol telah meningkat kesan daripada peningkatan 20% bilangan trafik pada tahun 2016 berbanding tahun 2015.
“Bagaimanapun, peningkatan pendapatan ini masih belum mampu menampung perbelanjaan operasi dan kos pentadbiran yang tinggi terutamanya kos kewangan bagi pinjaman bank dan sukuk,” menurut laporan audit.
Ia turut mendedahkan, komposisi lembaga pengarah syarikat tidak mengikut amalan terbaik tadbir urus kerana dua ahli lembaga pengarah berkhidmat selama sembilan tahun – melebihi tempoh maksimum enam tahun yang ditetapkan dalam buku panduan.
Walaupun telah beroperasi lebih daripada empat tahun, JSAHMS juga didapati gagal mencapai matlamat pembinaannya sebagai laluan alternatif pengguna ke bahagian pulau dan mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang pada waktu puncak.
Susulan daripada itu, ketua audit negara mengesyorkan supaya JKSB mempertimbangkan rebat bagi tujuan menarik lebih ramai pengguna menggunakan JKSB bagi meningkatkan hasil kutipan tol.
“Terdapat beberapa kelemahan lain yang perlu diberi perhatian dan tindakan oleh JKSB seperti mengambil tindakan pembaikan terhadap kecacatan yang dikenal pasti bagi memastikan aset JSHAMS sentiasa berada dalam keadaan baik dan menambah baik SOP pemeriksaan aset dengan menetapkan tempoh masa yang perlu diambil bagi pembaikan jambatan dan pavement.
“Amalan tadbir urus syarikat perlu ditambah baik agar selaras dengan amalan terbaik tadbir urus yang disarankan,” katanya. – 6 Ogos, 2018.
Komen