Azerbaijan penjarakan pemimpin pembangkang ada kaitan dengan Gulen


Azerbaijan yang merupakan sekutu kuat Turki mula menahan penyokong Gulen selepas cubaan rampasan kuasa yang gagal di Turki tahun lepas. – Gambar AFP, 24 Julai, 2017.

AZERBAIJAN memenjarakan seorang pemimpin kanan pembangkang kerana dakwaan mempunyai hubungan dengan pendakwah Fethullah Gulen yang didakwa sekutu rapatnya, Turki sebagai dalang dalam rampasan kuasa yang gagal tahun lepas.

Faig Amirov- pembantu kepada pemimpin Parti Popular Front- didapati bersalah kerana “mempunyai kaitan dengan Gulen” dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan tiga bulan menggunakan peruntukan undang-undang yang meliputi tindakan mencetuskan kebencian, kata peguam Agil Layijev kepada AFP.

Layijev, bagaimanapun, menegaskan yang dakwaan itu “bermotifkan politik” dan digunakan sebagai alasan membolehkan pihak kerajaan menekan pembangkang.

“Kami akan merayu keputusan itu,” katanya.

Azerbaijan yang merupakan sekutu rapat Turki melancarkan operasi besar-besaran menahan pengikut Gulen selepas cubaan rampasan kuasa yang gagal di Turki.

Gulen yang tinggal di Pennsylvania, AS menafikan dakwaan terlibat dalam cubaan rampasan kuasa itu yang menyaksikan pihak berkuasa Turki menahan 50,000 orang dan memecat 100,000 yang lain.

Amirov ditahan Ogos lalu selepas pihak penyiasat mengatakan mereka menemui buku yang ditulis Gulen dalam keretanya.

Tetapi, Amirov mengatakan buku itu diletakkan pihak berkuasa selepas menahannya untuk disoal. – AFP, 24 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen