Kemenangan Anwar bukti sokongan padu ahli PKR, kata Azmin


Melati A. Jalil

Semalam, pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018 menyaksikan Anwar Ibarhim buat kali pertama terpilih sebagai presiden. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 Ogos, 2018.

KEMENANGAN tidak rasmi Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR menunjukkan sokongan padu ahli kepadanya untuk mengetuai parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH), kata Mohamed Azmin Ali.

Penyandang timbalan presiden PKR itu berkata kepimpinan Anwar amat penting bagi PKR dan PH.

“Saya gembira kerana beliau mendapat sokongan tak berbelah bagi untuk memimpin parti dan ini terbukti melalui penamaan semalam.

“Ini menunjukkan bahawa ahli mahu melihat Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam memimpin parti sebagai bolk terbesar dalam Pakatan Harapan hari ini,” Azmin memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018 menyaksikan Anwar buat kali pertama terpilih sebagai presiden.

Tiada calon lain tampil untuk mencabar Anwar apabila tempoh pencalonan tamat pada jam 5 petang.

Anwar akan menggantikan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menggalas jawatan presiden semenjak beliau berada dalam penjara.

Sementara itu, Azmin memutuskan untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden parti dan akan menentang Rafizi Ramli.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan ahli,” katanya ketika ditanya mengenai keputusannya untuk mempertahankan jawatan.

Azmin mula menjadi timbalan presiden PKR pada 2010 menggantikan Syed Husin Ali. – 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen