SEKUMPULAN penduduk di sebuah bandar di Perancis membina sebuah tembok setinggi dua meter di pintu masuk sebuah hotel yang tidak digunakan untuk menghalang ia diubah menjadi pusat perlindungan pendatang.
Pembantah rancangan itu di Semeac, Pyrenees menaikkan tembok sepanjang 18 meter dan setinggi 1.8 meter yang menutup laluan masuk ke hotel Formule 1.
“Kami tidak membantah untuk menerima pendatang,” kata jurucakap kumpulan itu, Laurent Teixeira kepada AFP. “Tetapi anda perlu mengambil kira kepentingan penduduk.”
Teixeira mendakwa pihak berkuasa gagal berbincang dengan penduduk tentang projek untuk mengubah bekas hotel bajet kepada pusat perlindungan untuk 85 pendatang.
“Tiada rancangan untuk kehidupan harian pendatang,” katanya mendakwa sekolah dan sistem awam lain di bandar yang hanya mempunyai 5,000 orang penduduk itu tidak akan mampu menampung kedatangan pendatang.
Hotel di Semeac itu adalah salah satu daripada 62 hotel bajet yang dibeli kerajaan untuk diubah kepada pusat perlindungan pendatang yang kini menjadi gelandangan di Paris dan memenuhi pelabuhan Calais.
Jumlah pendatang yang dijangka meningkat semasa musim panas dan kerajaan menerima tekanan untuk mewujudkan lebih banyak pusat perlindungan.
Tahun lepas, beberapa bantahan berlaku di Perancis menentang penubuhan pusat perlindungan pendatang tetapi ia surut selepas pendatang mula memasuki pusat itu. – AFP, 24 Julai, 2017.
Komen