LANGSUNG: Pegawai SB pujuk isteri Amri jangan buat laporan polis


Noel Achariam

PEGAWAI Cawangan Khas (SB) Perlis Shamzaini Mohd Daud akan memberi keterangan buat kali ketiga hari ini pada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) berkaitan kes kehilangan aktivis Amri Che Mat.

Shamzaini adalah pegawai yang mendakwa pasukan polis menculik Amri.

Menurut keterangan isteri Amri, Norhayati Ariffin, Shamzaini mendedahkan yang pasukan khas dari ibu pejabat polis persekutuan bertanggungjawab ke atas kehilangan suaminya dan pastor Raymond Koh.

Bagaimanapun, Shamzaini memberitahu panel siasatan bulan lepas yang dakwaan Norhayati semuanya bohong.

Katanya, pertemuan dengan Norhayati pada 12 Mei dirumahnya adalah untuk bertanyakan tentang sewa lot kedai, menambah yang Norhayati gigih berusaha mencari bukti kehilangan suaminya dan beliau tidak memberikan kerjasama.

Shamzaini berkata beliau mahu mengaitkan kes Amri dengan polis, terutama sekali dengan Cawangan Khas.

Katanya, beliau enggan memberikan kerjasama, kerana itu berlaku pergaduhan dan Norhayati menjadi emosional dan terus mendesaknya untuk memberitahu siapa yang terlibat.

Norhayati kemudiannya membuat laporan polis kerana pendedahan itu, menyebabkan panel siasatan Suhakam memanggil Norhayati kembali untuk beri keterangan.

Tetapi dakwaan itu kemudiannya dibatalkan selepas Ketua Polis Sentul R Munusamy memaklumkan kepada panel yang laporan polis dibuat oleh Shamzaini menafikan keterangan Norhayati.

Amri didakwa disiasat kerana perdagangan forex dan menyebarkan ajaran Syiah.

Beliau hilang pada 24 November 2016. Dipercayai diculik oleh sekumpulan orang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengepung keretanya di Kg Padang Behor, Perlis.

Koh pula diculik pada 13 Februari tahun lepas oleh beberapa orang bertopeng menaiki SUV hitam yang menyekat keretanya di Petaling Jaya, Selangor.

Suhakam menjalankan siasatan awam ke atas kehilangan Amri, Koh, pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth bagi meneliti sama ada kehilangan mereka adalah kes kehilangan paksa.

The Malaysian Insight membawakan lintas langsung prosiding hari ini:

1:15 pm: Peguam keluarga Amri, Larissa Anne Louis tanya Azizi adakah kereta Saiful berada di Pulapol dari 21 November hingga 24 November 2016.

Azizi berkata yang beliau boleh sahkan kereta itu berada di Pulapol.

Louis bertanya adakah Azizi boleh sahkan kereta itu tidak digunakan oleh sesiapa selain Saiful, dan Azizi menjawab “ya”.

Pemerhati polis bertanya kepada Azizi siapakah yang selalu pegang kunci kereta Saiful.

Azizi memberitahu beliau yang selalu pegang kunci kereta Saiful.

Pemerhati polis sekali lagi meminta Azizi mengesahkan kereta Saiful berada di Pulapol (pada hari Amri hilang).

Azizi berkata Saiful dan keretanya berada di Pulapol pada hari itu.

Siasatan Suhakam berakhir dan akan disambung semula pada 24 Ogos.

1:00 pm: Pegawai Suhakam bertanya kepada Azizi apakah tugas Saiful di Pulapol.

Azizi berkata Saiful bertugas sebagai pembantu pentadbiran.

Kemudian pegawai Suhakam bertanya jika Azizi boleh mengingati nombor pendaftaran dan warna kereta Saiful.

Azizi berkata nombor pendaftaran kereta Saiful ialah PFC 1623 dan warna keretanya emas.

Pegawai Suhakam bertanya pula jika Azizi mempunyai sebarang maklumat mengenai Saiful.

Azizi berkata yang beliau tidak tahu di mana Saiful berada.

12:45 pm: Panel selesai menyoal Shamzaini dan memanggil pegawai SB ASP Mohd Azizi Abdul Hamid.

Pegawai Suhakam meminta Azizi memberitahu jawatannya dalam SB.

Azizi berkata beliau bekerja sebagai pegawai di bahagian logistik dan perumahan di Pulapol.

Pegawai Suhakam bertanya adakah Azizi kenal Saiful Bahari (pemilik Vios berwarna emas).

Azizi jawab beliau mengenali Saiful kerana lelaki itu bekerja dengannya di bawah kontrak polis. 

Pegawai Suhakam kemudian bertanya bilakah kali terakhir Azizi berjumpa Saiful.

Azizi menjawab pada November tahun lepas.

12.15pm: Pegawai Suhakam bertanyakan Shamzaini mengenai dua panggilan telefon dibuatnya pada 12 Mei.

Pegawai berkata beliau membuat panggilan Whatsapp pada jam 8.43 pagi kepada Aizat (Perlis Hope) dan pada jam 8.57 pagi beliau membuat panggilan biasa kepada Parid.

Pegawai mencadangkan Shamzaini merancang membuat panggilan itu menggunakan dua sistem berbeza.

Shamzaini tidak bersetuju.

11:45 am: Pemerhati polis bertanya jika Shamzaini menerima tekanan daripada mana-mana pihak supaya membuat laporan polis.

Shamzaini jawab “tidak”.

Peusuhjaya Suhakam Mah Weng Kwai bertanya kepada Shamzaini jika beliau ditekan oleh ketuanya supaya membuat laporan polis, dan beliau menjawab “tidak”.

Pemerhati polis tanya Shamzaini adakah beliau akan dimarahi jika tidak membuat laporan.

“Tidak”, jawab Shamzaini.

Polis bertanya jika Shamzaini membuat laporan polis dengan sukarela, dan beliau menjawab “ya”.

11:20 am: Pemerhati polis bertanya Shamzaini sama ada beliau bersetuju dengan laporan polis terhadapnya yang dibuat oleh Norhayati.

Shamzaini menafikan laporan Norhayati dan berkata semua dakwaan wanita itu tidak benar.

Polis tanya Shamzaini mengapa beliau membuat laporan polis dua hari selepas Norhayati membuat laporan, bukan lebih awal.

Shamzaini menjawab ia kerana Norhayati “tak betul” dan hanya membuang masanya.

Beliau juga berkata Norhayati hanya merepek serta menuduhnya datang berjumpa untuk mendapatkan maklumat (tentang Amri). 

11:00 am: Pemerhati polis tanya Shamzaini mengenai kehadirannya di rumah Norhayati pada 12 Mei pada jam 10.30 malam dan apakah yang dibincang oleh mereka berdua.

Shamzaini berkata mereka hanya berbual ringkas mengenai sewa kedai dan kemudian beralih kepada mengenai Amri.

Polis bertanya jika Norhayati memberitahu Shamzaini yang kedai itu sudah dipajak kepada Parid.

Shamzaini jawab “tidak”.

Shamzaini kata Norhayati tiba-tiba menjadi emosional dan mahu memfailkan pertuduhan jenayah terhadapnya.

Katanya lagi, beliau terpaksa memenangkan Norhayati kerana tidak mahu wanita itu membuat laporan polis sehingga menyebabkan beliau dikenakan tindakan disiplin.

Shamzaini juga berkata beliau mahu menjaga imejnya dan sebab itulah beliau berada di rumah Norhayati selama dua jam.

10:45: Pemerhati polis tanya Shamzaini jika berjumpa Norhayati sebelum itu.

Shamzaini berkata beliau berjumpa Norhayati pada waktu pagi dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SB di IPD Perlis.

Norhayati kemudian memintanya datang semula pada sebelah malam untuk berbincang mengenai menyewa kedai.

Polis tanya Shamzaini jika Norhayati memberitahu yang kedai itu sudahpun dipajakkan kepada Parid untuk 20 tahun.

Shamzanini jawab “tidak”.

10:30 am: Pemerhati polis tanya Shamzaini bagaimana beliau dapat hubungi Parid Auto yang menyewa lot kedai di Perlis Hope, bersebelahan tempat tinggal isteri Amri, Norhayati.

Shamzaini berkata beliau mendapat nombor telefon dari sepanduk di Parid Auto.

Shamzaini kemudian memberitahu panel yang beliau ada berbual dengan Parid dan memberitahu lelaki itu yang beliau mahu mengecat keretanya.

Beliau kemudian meminta Parid nombor telefon pemilik lot kedai itu.

Shamzaini kata Parid memberitahu tidak ada nombor telefon pemilik kedai.

Shamzaini berkata Parid memintanya ke rumah Norhayati dan jika ada kereta di situ bermakna pemiliknya ada dalam rumah.

10:15 am: Pemerhati polis bertanya kepada Shamzaini mengapa beliau ke kedai Parid Auto pada 12 Mei.

Shamzaini kata beliau mahu mencari kedai untuk disewa.

Shamzaini kemudiannya memberitahu panel yang beliau membuat carian mengenai Perlis Hope menerusi Google dan menelefon nombor yang tersenarai di laman web.

Panggilannya tidak berjawab, katanya.

Pemerhati polis bertanya kepada Shamzaini jika beliau tahu pemilik nombor berkenaan.

Shamzaini jawab “tidak”.

Polis bertanya jika Shamzaini mengenali Aizat (pemilik nombor telefon), dan beliau menjawab “tidak”.

10:00 am: Pemerhati polis menyoal Shamzaini adakah beliau kenal bekas ketua SB Awaluddin Jadid.

Shamzaini beritahu beliau tidak pernah berjumpa dengannya malah tidak tahu jika Awaluddin datang ke Perlis.

Polis bertanya Shamzaini jika orang awam menghubungi IPD, adakah mereka akan mendapat maklumat mengenai siapa yang bertugas dalam SB.

Shamzaini jawab ya, kerana orang awam boleh meminta operator menyambungkan panggilan dengan orang yang dicari.

Kemudian polis bertanya kepada Shamzaini adakah benar identiti pegawai-pegawai SB tidak dirahsiakan, dan beliau menjawab “ya”.

9.45 am: Pegawai Cawangan Khas (SB) Perlis Shamzaini Mohd Daud mengambil tempat.

Pemerhati polis bertanya Shamzaini apakah yang beliau akan lakukan sekiranya mendapat maklumat daripada orang awam.  

Shamzaini berkata beliau akan menyerahkannya kepada pegawai atasannya.

Polis bertanyakan Shamzaini jika beliau mengenali DSP Azam Azahari dan ASP Razman.

Shamzaini berkata beliau kenal tetapi tidak rapat. – 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen