Murakami jadi DJ radio


Haruki Murakami, penulis terkenal Jepun menggembirakan peminatnya apabila muncul dalam sebuah rancangan radio di negara itu. Beliau jarang membuat penampilan awam. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2018.

PENULIS terkenal Haruki Murakami yang jarang muncul di acara awam menggembirakan peminatnya pada Ahad selepas menjadi penyampai sebuah rancangan radio yang disiarkan sekali sahaja.

Ramai peminat meluahkan keterujaan mereka di media sosial selepas mendengar rancangan oleh penulis Jepun berusia 69 tahun itu yang sering dianggap pesaing penerima Hadiah Nobel Sastera.

“Ia kali pertama saya dengar suaranya. Saya terkejut dengan caranya bercakap dan suaranya sangat muda!!” kata seorang pengguna Twitter.

“Seronoknya dapat dengar suaranya!! Sangat seronok sampai menangis,” kata seorang lagi.

Penulis yang suka memencilkan diri itu adalah peminat tegar musik memperkenalkan lagu-lagu oleh pemusik AS dan British.

Murakami sensasi seluruh dunia dengan penerbitan novelnya, “Norwegian Wood” pada 1987 dan bukunya seperti “1Q84” dan “Kafka on the Shore” turut mendapat sambutan hebat.

Pada 2007, beliau menerbitkan karya bukan fiksi, “What I Talk About When I Talk About Running”. Katanya, beliau mendengar musik ketika berlari.

Musik, katanya, ketika mengacarakan rancangan radio itu, membantu beliau menulis.

“Saya tak belajar teknik menulis daripada karya orang lain. Saya belajar tentang rima, harmoni dan tambah baik dari musik,” katanya.

Walaupun begitu, katanya, beliau “mahu mati dalam diam”- ketika pengacara bersama rancangan itu bertanyakan soalan pendengar tentang musik yang mahu didengarnya pada majlis pengebumiannya.

Penulis yang banyak menghabiskan masanya di Amerika Syarikat mempunyai ramai pengikut pembaca tegar. Karyanya juga sering dipenuhi dengan rujukan budaya pop. Karyanya telah diterjemah ke dalam hampir 40 bahasa. – AFP, 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen