GEMPA kuat yang melanda pulau pelancongan terkenal Indonesia, Lombok membunuh 82 orang dan mencederakan ratusan yang lain, kata jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho pada awal Isnin.
Gempa berukuran tujuh pada skala itu yang mencetuskan panik dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan pada Ahad, juga dapat dirasai sehingga ke Bali, salah sebuah pulau pelancongan utama Asia Tenggara.
Nugroho berkata amaran awal tsunami yang kemudiannya dibatalkan mencetuskan panik di kalangan penduduk yang bergegas mencari tempat perlindungan.
“Orang panik…terutama dengan amaran awal tsunami,” katanya.
Kebanyakan yang terbunuh di utara Lombok, jauh daripada kawasan tumpuan pelancong di selatan dan timur Lombok.
Pegawai penyelamat berkata kebanyakan kerosakan berlaku di bandar utama Lombok di Mataram.
Bekalan elektrik terputus di beberapa bahagian di pulau itu dan pesakit di hospital utama sudah dipindahkan, kata saksi dan pegawai.
Di pulau jirannya, Bali, gempa yang dirasai itu menyebabkan pelancong dan penduduk bergegas keluar ke jalan raya mencari kawasan perlindungan.
Gempa itu berlaku seminggu selepas gempa 6.4 Ritcher melanda Lombok membunuh 17 orang dan merosakkan ratusan bangunan.
Ia turut menyebabkan tanah runtuh yang memerangkap pendaki gunung di kawasan terkenal pulau itu.
Indonesia adalah salah sebuah negara paling terdedah kepada bencana alam kerana kedudukannya di atas jaluran dikenali sebagai “Cincin Api” di mana plat tektonik bergerak dan bertembung, menyebabkan gempa dan letusan gunung berapi sering berlaku.
Pada 2004, tsunami yang disebabkan gempa kuat berskala 9.3 di dasar laut di Sumatra membunuh 220,000 orang di negara sekitar Lautan Hindi, 168,000 terbunuh di Indonesia sahaja. – AFP, 6 Ogos, 2018.
Komen