Ahli pasukan tewas akan dilantik dalam kepimpinan Pemuda baru, kata Afif


SM Amin

Calon Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin memberi jaminan kepada ahli pasukannya bahawa mereka tetap akan dilantik di dalam kepimpinan Pemuda yang baru walaupun tewas dalam pemilihan parti akan datang.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Ogos, 2018.

CALON Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin memberi jaminan kepada ahli pasukannya bahawa mereka tetap akan dilantik di dalam kepimpinan Pemuda yang baru walaupun tewas dalam pemilihan parti akan datang.

Beliau yang menerajui pasukan ‘Keadilan Masa Depan’ berkata, terdapat peruntukan di dalam Pemuda di mana ketua Pemuda PKR boleh melantik exco Pemuda dalam jumlah yang tertentu.

“Pastinya saya mengharapkan pasukan ‘Keadilan Masa Depan’ secara keseluruhannya mendapat sokongan daripada anggota di bawah.

“Jika berlaku di mana keputusan pemilihan itu tidak seperti yang diharapkan, pastinya saya ada ruang menurut peraturan Pemuda untuk melakukan lantikan dan juga menggarap semua pihak untuk bersama,” katanya dalam satu sidang media selepas proses pencalonan selesai.

Dalam pemilihan Pemuda PKR pada 2014, 16 exco Pemuda bertindak keluar dewan persidangan sejurus Nik Nazmi diumumkan menang jawatan ketua Pemuda yang mana Nik Nazmi bukan berada di dalam pasukan yang sama.

Kumpulan tersebut mendakwa tindakan mereka itu sebagai tanda protes terhadap keputusan pemilihan yang tidak memihak kepada seorang lagi calon Pemuda, Amirudin Shari.

Diminta mengulas peristiwa itu, Dr Afif menjelaskan keadaan sudah berubah kerana ada calon yang dahulu menjadi lawan beliau kini berada dalam pasukan beliau untuk bersama-sama mengukuhkan perpaduan dalam parti.

Beliau juga tanpa berselindung mengumumkan pasukannya akan memberi sokongan kepada Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden PKR bergandingan dengan Anwar Ibrahim sebagai presiden parti.

“Saya tidak mahu ungkit kisah lama. Contohnya Nazree, dulu kami bersaing bersama dalam pemilihan tetapi kali ini kami tampil bersama kerana kami yakin Pemuda PKR sekarang perlukan satu pasukan yang kuat, yang bersatu padu, yang boleh mempertahankan perpaduan parti.

“Saya yakin kalau kita menyokong kepimpinan dinamik duo antara Anwar Ibrahim dengan Azmin Ali dan saya diperingkat Pemuda, maka PKR akan diterajui apa yang dipanggil ‘Triple A’, Anwar, Azmin, Afif,” katanya.

Sebagai sebuah parti yang besar dan mempunyai keahlian hampir 900,000 ahli, beliau mengharapkan pemilihan pada kali ini dapat berjalan dalam suasana kekeluargaan dan bukannya seperti menentang parti lawan.

“Pastinya pemilihan PKR adalah persaingan sihat dalam keluarga dan budayanya bukan seperti kita berhadapan pilihanraya umum di mana kita berhadapan dengan parti lawan.

“Anggota PKR sudah cukup matang lebih-lebih lagi kita bertanding bukan hanya sebagai parti politik tetapi sebagai sebuah parti pemerintah. Identiti dan imej Keadilan itu harus dipertahankan agar kita terus dapat kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat,” ujarnya.– 5 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen