Bekas ketua pemisah ETA dibebaskan dari penjara di Sepanyol


Santiago Arrospide Sarasola, atau lebih dikenali sebagai Santi Potros meninggalkan penjara Topas di utara bandar Salamanca pada awal pagi.– Gambar AFP, 5 Ogos, 2018.

ANGGOTA utama pemisah ETA (Euskadi Ta Askatasuna) dibebaskan dari penjara di Sepanyol selepas menjalani hukuman selama 30 tahun kerana terlibat dalam serangan yang didalangi pemisah Basque, kata pihak berkuasa penjara, hari ini.

Santiago Arrospide Sarasola, atau lebih dikenali sebagai Santi Potros, dijatuhi hukuman penjara selama hampir 3,000 tahun, namun undang-undang Sepanyol menetapkan hukuman penjara tidak boleh melebihi 30 tahun.

Beliau meninggalkan penjara Topas di utara bandar Salamanca “pada awal pagi”, kata jurucakap kepada AFP.

Santi Potros dipercayai mengetuai organisasi ketenteraan ETA.

Beliau didapati bersalah terlibat dalam serangan ke atas sebuah pasar raya di Barcelona pada 19 Jun 1987, yang mengorbankan 21 orang.

Beliau ditahan pada tahun sama dan diekstradisi ke Sepanyol pada 2000.– AFP, 5 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen